
MELIHAT anak kecil yang dahulunya dikendong rapat kini sudah bersedia bergelar seorang suami, pastinya meruntuh tangkai hati setiap insan yang bergelar ibu. Perasaan hiba dan penuh kesyukuran itu terpancar jelas pada wajah pelakon popular, Rozita Che Wan, atau lebih mesra disapa Che Ta sewaktu menyampaikan ucapan di majlis pernikahan anak sulungnya, Ammar Effendy baru-baru ini.
Dalam majlis yang sarat dengan titisan air mata kegembiraan itu, Che Ta kelihatan begitu anggun namun tidak dapat menyembunyikan getaran suara seorang ibu yang sedang melalui fasa paling mencabar dalam hidupnya iaitu melepaskan si anak pergi membina empayar bahagianya sendiri.
Kata orang, tugas membesarkan anak adalah untuk melihat mereka berdikari akhirnya, namun hakikat itu tidak pernah mudah bagi seorang wanita yang telah menumpahkan seluruh kasih sayangnya sepanjang tiga dekad yang lalu.

Meluahkan rasa hati yang sarat itu, Che Ta mengakui tiada manual atau sekolah yang boleh mengajar seorang ibu untuk bersiap sedia menghadapi detik perpisahan sebegini.
"Orang selalu cakap kita ni besarkan anak untuk dilepaskan, tapi tak ada siapa yang pernah mengajar seorang ibu bagaimana untuk melepaskan.
"Hari ni dengan hati yang penuh syukur dan mata mungkin bergenang, Mami melepaskan Ammar untuk memulakan perjalanan hidup yang baru setelah 30 tahun duduk bawah ketiak Mami," seloroh Che Ta
dalam nada sebak yang disambut dengan senyuman para tetamu.
Melepaskan anak kesayangan
Walaupun sempat mengusik anak bujangnya tentang tempoh manja bersama keluarga, aktres jelita itu menyedari bahawa setiap anak lelaki akhirnya harus keluar daripada zon selesa untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Langkah Ammar ke jenjang pelamin bersama pilihan hatinya, Auni, dianggap sebagai satu ketentuan indah yang sudah tertulis buat mereka sekeluarga.

Jelas Che Ta, keputusan melepaskan anak kesayangannya itu bukanlah bermakna dia sudah bersedia untuk kehilangan perhatian, sebaliknya dia sedar akan fitrah seorang anak adam yang bakal menggalas watak sebagai pelindung keluarga.
"Bukan kerana mommy sudah bersedia kehilangan Ammar, tapi kerana Mami tahu sampai masa dia seorang anak lelaki menjadi pemimpin kepada keluarganya sendiri.
"Pergilah Ammar, bina hidupmu, bina bahagiamu kerana selagi jantung ni masih berdegup, nama Ammar akan sentiasa adalah sunju dan doa mommy," titipnya lagi dengan penuh emosi.
Sepanjang membesarkan zuriatnya, isteri kesayangan Zain Saidin mendedahkan bahawa dia lebih banyak memendam rasa dan memanjatkan doa secara sembunyi demi melihat kejayaan serta kebahagiaan anak-anak di hadapan mata.

Menangis dalam diam
Detik pernikahan tersebut dianggap sebagai jawapan paling agung daripada Yang Maha Esa terhadap segala rintihan hatinya selama ini apabila melihat Ammar kini berdiri sebagai seorang lelaki matang yang sedia melindungi seorang wanita.
"Mommy sentiasa berdoa dalam diam, menangis dalam diam dan sentiasa berharap dalam diam agar anak-anak yang mommy besarkan sentiasa bahagia dan menjadi insan yang baik.
"Hari ni mommy tahu ALLAH yang menjawab doa-doa tu," katanya sambil menahan takungan air mata.
Sebagai ibu yang lebih makan garam dalam asam garam kehidupan, Che Ta
tidak melepaskan peluang memberikan pesanan paling bernilai buat Ammar dalam melayari bahtera rumah tangga bersama Auni.
Dua anak perempuan
Baginya, kehebatan seorang lelaki tidak dinilai pada harta benda atau pangkat yang dimiliki, melainkan pada kelembutan hatinya menundukkan ego demi menjaga perasaan seorang isteri yang telah diserahkan kepadanya.

"Sayang, mulai hari ni jagalah isterimu sebaik-baiknya. Hormatilah dia, sayangilah dia dan jadilah tempat dia pulang ketika dunia terasa penat.
"Jagalah hati dan perasaannya, hormatilah dia dalam setiap keadaan ketika terutama ketika you marah.
"Jadilah pelindung, sahabatnya dan tempat dia merasa aman," pesannya satu per satu.
Mengakhiri ucapan yang cukup menyentuh sanubari itu, Che Ta mengingatkan anak lelakinya bahawa perkahwinan bukanlah medan untuk mencari kesempurnaan mutlak, melainkan ruang untuk saling melengkapi dengan sifat sabar dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.
Sambil menyambut kehadiran Auni sebagai anak perempuan baharu dalam keluarga mereka, pelakon Kuah Pekasam itu menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana kini anak bongsunya, Aisyah, sudah mempunyai seorang kakak tempat mengadu.
"Bukanlah menjadi suami yang sempurna, cukuplah menjadi suami yang sentiasa memiliki kasih sayang daripada ego dan memilih untuk memimpin dengan kelembutan, bukan dengan kemarahan kerana seorang lelaki yang hebat bukan dilalui apa yang dimilikinya tetapi melalui cara dia melayani isteri dia.

"Jagalah amanah Auni baik-baiknya sayang kerana hari ini bukan seorang isteri diserahkan tetapi sebuah kepercayaan yang sangat besar.
"Dan Auni, terima kasih kerana sudi menerima Ammar menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Mommy dah ada dua anak perempuan, Aaisyah dah ada kakak," akhirinya penuh syahdu.




