
BARU-baru ini kisah seorang lelaki kudung berjalan menggunakan tongkat dalam hujan demi membeli makanan menyentuh hati warganet.
Menerusi video dikongsikan TikTok @Storie.my, lelaki dikenali sebagai Jefree, 50, dilihat berjalan menggunakan tongkat di tepi jalan raya sebelum disapa oleh pemilik akaun tersebut yang berhenti untuk menawarkan bantuan.
Dalam perkembangan terbaharu, lelaki berkenaan telahpun menerima bantuan daripada aktivis masyarakat Adrian Edy dan Ebit Lew.
Menurut Edy yang mengunjungi kediaman Jefree di Sungai Bill, Slim River, Perak, rupanya lelaki itu hidup sebatang kara, tiada tempat bergantung mahupun mengadu dan hampir kemurungan selepas kematian ibu bapa
"Menangis semalam tengok video pakcik Jefree yang viral. Hari ini syukur kami sempat bertemu dengan Pak Cik Jefree.

"Beliau seorang anak yatim piatu dia tinggal seorang diri di sebuah rumah yang tiada elektrik. Malah ibu dan ayahnya meninggal, beliau beberapa bulan berkurung dalam rumah dan hampir depresi. Pak Cik Jefree sangat rindu kepada kedua orang tuanya," kongsinya.
Hidup Jefree tidak menentu, malah makan minum juga tidak terjaga. Ada masa lelaki itu terpaksa berlapar dan ditipu ketika berniaga.
"Kalau dia tidak dapat makan nasi, dia hanya makan roti sahaja. Tahan lapar beberapa hari.
"Kadang-kadang Pak Cik Jefree petik sayur dan petai dan jual di pekan Tanjung Malim Perak. Ramai orang membeli dengannya tetapi ada juga orang menipu," titipnya.

Edy yang sempat membelikan makanan kepada lelaki berkenaan berkongsi detik pilu apabila diminta membelikan beberapa jenis sajian yang sudah lama diidam.
"Tadi sempat bawa dia pergi beli barangan keperluan makanan dia dan beri sedikit wang belanja buatnya.
"Katanya, kadang-kadang kalau tiada makanan, beliau akan berjalan kaki dan menahan kereta untuk minta tolong belikan nasi.
"Ada masa beliau duduk di pembahagi jalan merenung siapa yang akan bantunya hari ini. Sedih saya mendengar kisah hidupnya.

"Tadi semasa beli makanan dan keperluan, setiap barang yang ingin dibeli Pak Cik Jefree akan minta izin. Katanya, ada makanan yang sudah teringin tetapi tidak mampu beli seperti buah dalam tin, sardin dan susu kotak," kongsi Edy.
Lebih memilukan, rupanya lelaki itu menyimpan rindu kepada kedua orang tua yang sudah tiada. Sementelah jarak kubur dan rumah jauh, Jefree tidak dapat menziarahi pusara.
"Saya sempat membawa Pak Cik Jefree ziarah pusara arwah ibu dan ayahnya. Katanya sudah lama berniat mahu ziarah tetapi disebabkan jauh beliau tidak dapat pergi.
"Sampai sahaja di tanah perkuburan tadi Pak Cik Jefree terus menangis dan berkata, “Mak ayah, ini Jefree datang. Maaf Jefree tak datang. Jefree sihat saja mak, ni ada orang baik yang tolong Jefree, mak ayah doakan mereka ya.”
"Pak Cik Jefree juga mencabut rumput di pusara sambil menangis, sayang sangat kepada kedua orang tuanya," titip Edy.
Berasakan terhutang budi, Jefree menuturkan terima kasih berkali-kali, malah merendah diri mengatakan dirinya kotor.
Sementara itu, sukarelawan masyarakat Ebit Lew juga mengunjungi Jefree dan menghulurkan bantuan.
Kongsi Ebit, Zakat Perak bersetuju menghulurkan bantuan bulanan kepada Jefree. Malah beliau juga turut meringankan beban dengan membeli perkakas dapur bagi memudahkan lelaki itu menyediakan makanan sendiri di rumah, pakaian dan beberapa peralatan rumah.

"Ya ALLAH. Ziarah Abang Jefri. Terima kasih kepada adik yang bantu dan tularkan abang ini. Terima kasih juga kepada semua yang membantu.
"Terima kasih Zakat Negeri Perak beri bantuan RM300 sebulan. Semoga ALLAH mudahkan segala urusannya.
"Tinggal seorang diri. Tadi beli keperluan dapur dan alatan masak. Semoga ALLAH mudahkan segalanya," kongsinya.
Warganet yang rata-rata tersentuh dengan kesukaran dihadapi Jefree mendoakan agar urusan lelaki itu dipermudahkan pada masa hadapan.
"Ya ALLAH lindungi dia dalam kasih sayangmu."
"Sedih tengok abang ni, hidup sendirian. Tapi dia tabah hadap ujian ALLAH. Terima kasih kepada lelaki yang jumpa dia berjalan tengah hujan baru-baru ini dan tularkan."
"Maybe boleh sumbangkan kaki palsu supaya dia boleh berdikari and bekerja untuk menampung hidup."
Sumber: Instagram 1, 2



