Tak dibenar ikat jamin, ‘ibu kutu’ RM1.7 juta ke Penjara Pokok Sena

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 3:48 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Seorang wanita hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM1.7 juta sejak tahun lalu.

Image from: Tak dibenar ikat jamin, ‘ibu kutu’ RM1.7 juta ke Penjara Pokok Sena

Memetik laporan Harian Metro, tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu yang disertai 52 individu, dengan setiap peserta diwajibkan membuat bayaran tunai kepada kumpulan berkenaan.

Perbuatan itu didakwa berlaku antara Julai 2025 hingga Julai lalu di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, Changlun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.

Dalam prosiding sama, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM100,000 dengan alasan tertuduh berpotensi melarikan diri susulan kemampuan kewangannya.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sharmila kemudian memutuskan bahawa tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin. Mahkamah turut menetapkan 22 September depan sebagai tarikh untuk fakta kes serta prosiding hukuman susulan pengakuan bersalah tertuduh.

Image from: Tak dibenar ikat jamin, ‘ibu kutu’ RM1.7 juta ke Penjara Pokok Sena

Sementara menunggu tarikh berkenaan, tertuduh akan ditempatkan di Penjara Pokok Sena.

Kes itu turut mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan tiga beranak dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam yang dilaporkan pada 4 Ogos lalu.

Bapa kepada wanita terbabit sebelum itu membuat laporan berhubung kehilangan mereka sejak 20 Julai lalu.

Kehilangan tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu yang dianjurkan, dengan tertuduh disyaki berperanan sebagai ibu kutu dan mengumpulkan wang daripada mangsa.

Artikel lain: Polis terima 35 laporan, pasangan suami isteri tipu hutang kutu bernilai RM1.7 juta

Dua hari selepas laporan berkenaan dibuat, seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 39 dan 36 tahun tampil menyerah diri di Balai Polis Kubang Pasu kira-kira jam 1.50 pagi.

Sumber: Harian Metro (M Hifzuddin Ikhsan)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved