
GEORGE TOWN – Seorang penjaga kebun durian didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki senjata tiruan dan mengugut seorang lelaki, minggu lalu.
Tertuduh, Choong Ah Cheng, 57, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata tiruan berupa selaras senapang angin jenama Hatsan AT44-10 QE bernombor siri 041521754 tanpa sebab yang sah di dalam sebuah pondok di dusun durian miliknya di Bukit Gambir, di sini, kira-kira pukul 10 malam, 5 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 42 tahun dengan ancaman menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa di dusun sama, kira-kira pukul 5 petang, 4 Ogos lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad ketika prosiding memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Shariffah Farveen Syed Ibrahim yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai penjaga kebun tanpa pendapatan tetap selain mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak perempuan.
Menurut Shariffah Farveen, tertuduh turut menyesal atas perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM3,000 bagi kesalahan memiliki senjata tiruan atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Bagi kesalahan ugutan jenayah pula, tertuduh dikenakan denda RM4,500 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda. Jumlah keseluruhan denda yang perlu dibayar tertuduh adalah sebanyak RM7,500. – KOSMO! ONLINE
The post Padah ugut guna senjata tiruan – Penjaga dusun didenda RM7,500 appeared first on Kosmo Digital.






