
JAKARTA – Seorang ibu tunggal meninggal dunia di atas motosikal ketika keluar membeli ubat bersama anaknya dalam kejadian di Jalan Raya Ponorogo-Pacitan, wilayah Jawa Timur, lapor laman berita Kompas.
Ibu empat anak itu menghembuskan nafas terakhir sambil disaksikan anak bongsunya yang baru berumur tiga tahun, baru-baru ini.
Mangsa yang berusia 38 tahun dikenali sebagai Lu’lu Atunni’mah dan menetap di Desa Jebeng.
Menurut laporan, mangsa yang menunggang motosikal menuju ke klinik di Desa Gombang, tiba-tiba mengalami lemah fizikal secara mengejut.
Dia sempat berhenti di hadapan sebuah premis mencuci motosikal berhampiran Balai Polis Sektor Slahung sebelum kaku tidak bergerak.
Saksi di lokasi kejadian, Viki Prasetyo memberitahu, anak kecil mangsa yang panik terus turun daripada motosikal sebaik melihat ibunya secara mendadak hilang tenaga.
“Anak kecil ini berada di atas motosikal pada mulanya tetapi terus turun selepas melihat ibunya tiba-tiba sangat lelah dan tidak bermaya,” kata Viki.
Sementara itu, Ketua Polis Sektor Slahung, AKP Pitoyo berkata, polis dan petugas kesihatan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa sudah tidak bernyawa. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
Pemergian Lu’lu meninggalkan duka mendalam buat penduduk setempat memandangkan dia dikenali sebagai seorang wanita yang kental dan gigih berdikari.
Sejak kematian suaminya, Syamsudin dua tahun lalu, mangsa membanting tulang menyara kehidupan dan mengumpul dana pendidikan empat anaknya dengan berniaga kecil-kecilan.
Jiran mangsa, Ahmad Iqdam berkata, arwah tidak suka menyusahkan orang lain dan tidak pernah mengadu mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya. – AGENSI
The post Tak sempat beli ubat, ibu tunggal meninggal dunia atas motosikal appeared first on Kosmo Online.





