Tak sempat lari, tiga beranak rentung rumah terbakar

15 Aug 2026 • 11:24 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tak sempat lari, tiga beranak rentung rumah terbakar
Keadaan rumah mangsa yang marak terbakar dengan kemusnahan dianggarkan 70 peratus ketika pasukan bomba tiba. Foto JBPM Perak
Image from: Tak sempat lari, tiga beranak rentung rumah terbakar
Pasukan Forensik Kebakaran JBPM Perak membabitkan enam pegawai turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan. Foto JBPM Perak
Image from: Tak sempat lari, tiga beranak rentung rumah terbakar
Siasatan awal mendapati, rumah berkenaan mempunyai dua bilik dan dihuni tujuh warga asing. Foto JBPM Perak

BAGAN SERAI - Tiga beranak ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Serai Maju di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian dilaporkan jam 5.17 pagi itu, mangsa, Mohd Yunus Nor Ali, 27 bersama dua anak lelakinya, Muhammad Woheed, 6, dan Mohamad Aheed, 3, ditemukan dalam sebuah bilik yang sedang terbakar.

Isteri mangsa, Saniya Jahan Juma Abul Kasim, 24, pula ditemukan di luar rumah dalam keadaan melecur pada tangan dan kaki.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian menerusi talian MERS 999.

**media[3615613]**

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, BBP Kuala Kurau serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bagan Serai dikejarkan ke lokasi.

"Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.30 pagi dan mendapati sebuah rumah jenis Kelas A sedang marak terbakar dengan kemusnahan dianggarkan 70 peratus.

"Rumah berkenaan mempunyai dua bilik dan dihuni tujuh warga asing," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sayani berkata, maklumat awal mendapati, terdapat tiga mangsa masih terperangkap di dalam rumah sebelum anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat.

Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan operasi mencari mangsa di dalam rumah menggunakan konsep RECEO (Rescue, Exposure, Confinement, Extinguishment, Overhaul).

"Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam sebuah bilik pertama yang sedang terbakar dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi mengesahkan mereka telah meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos 100 kaki dengan satu pancutan serta satu aliran salur bantu mula (hose reel), manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera bomba dan parit berhampiran.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.20 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.35 pagi sebelum semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

**media[3615612]**

Sayani berkata, pasukan Forensik Kebakaran JBPM Perak membabitkan enam pegawai turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan.

"Hasil penemuan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula di bilik pertama, iaitu bilik tempat ketiga-tiga mangsa ditemukan.

"Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Operasi berkenaan membabitkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 24 anggota bomba, enam anggota PBS, tujuh anggota polis serta tiga petugas KKM.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved