Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Dunia hari ini diselubungi berita duka apabila aktivis dari Brazil, Thiago Ávila, menerima khabar pahit mengenai pemergian ibu tercintanya, Teresa Regina de Ávila e Silva, 63.
Apa yang lebih menyayat hati, berita duka itu tiba saat Thiago masih lagi berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel selepas misi bantuan kemanusiaan yang disertainya dipintas oleh rejim negara itu.
Thiago merupakan salah seorang aktivis yang berada di atas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan ke Gaza, Palestin. Malangnya, flotilla tersebut telah dipintas oleh pihak berkuasa Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 1,000 kilometer dari Gaza.
Artikel berkaitan: “Misi kami aman, dilindungi undang-undang” – Aktivis Brazil Bantah Ancaman Isra*l Halang GSF
Artikel berkaitan: GSF 2.0: ZRA Serta 2 Rakyat Malaysia Ditahan Tentera Israel
View this post on Instagram
Disebabkan tindakan tersebut, Thiago kini ditahan dan tidak dibenarkan pulang meskipun sedang berdepan tragedi peribadi yang sangat besar.
Sehingga kini, mahkamah Israel dilaporkan telah melanjutkan tempoh tahanan Thiago dan seorang lagi aktivis sehingga 10 Mei. Walaupun barisan peguam dari kumpulan advokasi undang-undang, Adalah, sedang giat membuat rayuan, peluang untuk Thiago pulang menguruskan jenazah ibunya kelihatan sangat tipis.
Pihak peguam menegaskan bahawa penahanan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana mereka ditahan di perairan antarabangsa, bukannya dalam wilayah undang-undang domestik Israel.
Rata-rata netizen mendoakan agar Thiago dibebaskan segera selain menitipkan doa buat ibunya itu.

Sumber: One Path Network
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.
