'Tak tahu nak sedih’, mangsa ribut syukur terima bantuan Yayasan MBI

21 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

'Tak tahu nak sedih’, mangsa ribut syukur terima bantuan Yayasan MBI

KLANG, 21 OKT: Seramai 43 keluarga yang terjejas akibat ribut di Kampung Delek pada 2 Mei lalu meluahkan rasa syukur selepas menerima sumbangan RM500 setiap keluarga daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI hari ini.

Mangsa menyifatkan bantuan berkenaan sedikit sebanyak meringankan beban kewangan, khususnya bagi menampung kos pembaikan kediaman yang rosak akibat ribut.

Seorang mangsa, Habibah Mohd Raub, 56, berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang sehingga menyebabkan air memasuki kediaman.

Image from: 'Tak tahu nak sedih’, mangsa ribut syukur terima bantuan Yayasan MBI
Habibah Mohd Raub , 56

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika beliau menghadiri kenduri di rumah anak saudara berhampiran sebelum dikejutkan dengan ribut kuat.

“Ketika itu, ribut sangat kuat sehingga khemah kenduri diterbangkan angin. Keadaan menjadi kelam-kabut dan ramai yang berlari pulang ke rumah masing-masing.

“Setibanya di rumah, saya sangat terkejut apabila mendapati air sudah memasuki rumah kerana bumbung diterbangkan angin.

“Alhamdulillah, selain Yayasan MBI, kami turut menerima bantuan daripada pejabat daerah dan zakat,” katanya.

Sementara itu, Nur Atikah Nor Azizan, 28, berkata beliau terkejut apabila mendapati bumbung rumahnya tercabut selepas kejadian ribut, selain kediaman turut dilanda banjir.

Image from: 'Tak tahu nak sedih’, mangsa ribut syukur terima bantuan Yayasan MBI
Nur Atikah Nor azizan , 28

Menurutnya, keadaan itu menjejaskan kehidupan keluarganya yang terdiri daripada tiga beranak, termasuk ibu dan adiknya.

“Tak tahu nak sedih atau macam mana apabila tengok keadaan rumah, tetapi saya bersyukur sebab tiada kemalangan jiwa. Terima kasih kepada Yayasan MBI atas bantuan yang diberikan,” katanya kepada Media Selangor.

Seorang lagi penerima, Mohd Hisam Jantan, 54, berkata sumbangan diterima dapat membantu menampung sebahagian kos membaiki bumbung rumah sewanya yang rosak dipukul angin kencang.

Image from: 'Tak tahu nak sedih’, mangsa ribut syukur terima bantuan Yayasan MBI
Mohd Hisam Jantan , 54

Beliau berkata kejadian itu dimaklumkan penyewa sebelum beliau memeriksa sendiri keadaan rumah berkenaan.

“Yayasan MBI amat prihatin. Walaupun sumbangan ini tidak dapat membaiki semua kerosakan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu menampung sebahagian kos pembaikan,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, ribut melanda Kampung Delek sehingga menyebabkan kerosakan kediaman dan harta benda serta menjejaskan 43 keluarga di kawasan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved