Takaful Malaysia catat pendapatan RM1.85 bilion pada separuh pertama 2025

17/09/2025 - 15:29
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 17 Sept – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad mencatatkan pendapatan RM1.85 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat 9% berbanding RM1.69 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan juga mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju takaful keluarga dengan 28% pegangan pasaran dan pengendali takaful am kedua terbesar negara dengan 23% pegangan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, prestasi itu menunjukkan ketahanan dan keupayaan syarikat menyesuaikan diri dalam pasaran mencabar.
“Pada masa sama, kita mengekalkan fokus kepada penciptaan nilai jangka panjang untuk pelanggan, pemegang saham dan rakan niaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takaful Malaysia turut memperluas portfolionya melangkaui produk kredit dan takaful motor kepada perlindungan hayat individu dan takaful am bukan motor seperti kebakaran, solar, kemalangan diri dan aset lain.
Kumpulan itu juga memfokuskan perhatian kepada pasaran runcit keluarga bagi perlindungan hayat dan penyakit kritikal, dengan kadar penembusan masih rendah sekitar 21%.
Tambahnya, dalam memperkasakan aspek pendigitalan, platform Kaotim menawarkan pelan takaful dalam talian yang menyeluruh, kompetitif dan mampu milik, selari dengan strategi Takaful Malaysia untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Satu pencapaian besar ialah kerjasama bankatakaful selama 20 tahun dengan RHB Islamic Bank yang membolehkan pengedaran produk takaful keluarga dan am melalui rangkaian cawangan RHB serta mengukuhkan kedudukan Takaful Malaysia dalam segmen ini,” katanya.
Baru-baru ini, Kumpulan mencadangkan Program Sukuk Wakalah Tier 2 bernilai RM1 bilion bagi memperkukuh asas kewangan, menyokong pelaburan digital dan teknologi, serta pertumbuhan mampan jangka panjang.
“Inisiatif ini mencerminkan pendekatan proaktif kami dalam memastikan Takaful Malaysia berdaya tahan.
“Dengan melabur dalam inovasi, memperluas rangkaian pengedaran dan mempelbagaikan produk yang ditawarkan, Takaful Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk menjana pertumbuhan pendapatan yang mampan serta mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
“Pada masa yang sama, tumpuan akan terus mengukuhkan bahagian pasaran yang menjadi pemacu utama dalam menyokong keuntungan mampan serta mengekalkan sentimen pasaran positif,” katanya.
Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, asas perniagaan yang teguh dan strategi pertumbuhan yang jelas, Takaful Malaysia berada pada landasan tepat untuk merebut peluang pada tahun kewangan 2025, 2026 dan seterusnya.
Kumpulan itu kekal komited memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham sambil memperkukuh peranannya sebagai pengendali utama penyelesaian takaful keluarga serta pengendali takaful am kedua terbesar negara. - DagangNews.com
standard



