reNIKOLA dan PTPN IV bina loji gas biometana mampat di Tinjowan, Indonesia

Business & FinanceEnvironment
17 Sep 2025 • 4:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

reNIKOLA dan PTPN IV bina loji gas biometana mampat di Tinjowan, Indonesia

image is not available

17/09/2025 - 16:55

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept – reNIKOLA bersama rakan strategik Indonesia, PT Perkebunan Nusantara IV (PTPN IV) memulakan kerja tanah bagi membangunkan Loji Gas Biometana Mampat (CBG) Tinjowan, yang dijangka siap dalam tempoh setahun dan beroperasi pada suku keempat 2026.

Loji tersebut bakal menghasilkan kira-kira 162,000 MMBTU CBG setahun dan dibekalkan di bawah kontrak rasmi selama 10 tahun kepada PT Pertagas Niaga, anak syarikat Pertamina Gas.

Projek ini berpotensi mengurangkan sehingga 30,000 tan pelepasan karbon dioksida setahun sekali gus menyokong sasaran nyahkarbon Indonesia.

Pada majlis sama, reNIKOLA dan PTPN turut menandatangani 20 kontrak tambahan bawah model bina, operasi dan serah (BOT) dengan nilai pelaburan gabungan sekitar USD100 juta.

Langkah ini memperkukuh agenda perluasan infrastruktur gas boleh diperbaharui di seluruh Indonesia.

Presiden Direktur PTPN IV, Jatmiko Krisna Santosa berkata, projek biometana ini bukan sahaja mengurangkan jejak karbon, malah menambah nilai baharu kepada ladang sawit serta komuniti sekitarnya.

“Inisiatif biometana ini adalah langkah penting dalam komitmen PTPN terhadap kelestarian dan peralihan tenaga.

“Dengan menukar efluen kilang sawit kepada tenaga bersih, kami bukan sahaja mengurangkan jejak karbon tetapi turut mencipta nilai baharu untuk ladang kami dan komuniti sekitar.

“Projek ini lebih daripada sekadar inovasi, ia adalah sumbangan kami untuk Indonesia yang lebih bersih dan hijau,” katanya.

Sementara itu, Presiden Direktur PT reNIKOLA Primer Energi, Khong Ho Ming pula berkata, kerjasama itu sangat penting dalam usaha menyahkarbon industri sawit yang menjadi tunjang ekonomi Malaysia dan Indonesia.

“Kami percaya pelaburan ini akan mengukuhkan daya tahan ekonomi Indonesia serta meletakkan negara ini sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Presiden Direktur PTGN, Toto Yulianto pula berkata, projek itu mampu mengedarkan sehingga 2 MMSCFD CBG, sekali gus mengukuhkan peranan bahan api bersih itu dalam campuran tenaga nasional bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih.

reNIKOLA, yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, kini memiliki loji solar berskala besar dengan kapasiti penjanaan 178 MWp, manakala 648 MWp lagi sedang dibangunkan. Syarikat itu menyasarkan kapasiti 1 GWp dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com

standard