[VIDEO] Nahas 11 kenderaan: Gambar sambutan merdeka jadi kenangan terakhir tiga beranak

1 Sep 2026 • 3:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Nahas 11 kenderaan: Gambar sambutan merdeka jadi kenangan terakhir tiga beranak
Image from: [VIDEO] Nahas 11 kenderaan: Gambar sambutan merdeka jadi kenangan terakhir tiga beranak
Mohd Hafiz menunjukkan gambar kenangan arwah adiknya bersama keluarga ketika menyambut hari kebangsaan di Putrajaya.
Image from: [VIDEO] Nahas 11 kenderaan: Gambar sambutan merdeka jadi kenangan terakhir tiga beranak
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) pada malam Isnin.
Image from: [VIDEO] Nahas 11 kenderaan: Gambar sambutan merdeka jadi kenangan terakhir tiga beranak
Jenazah Nur Atiqah tiba di Masjid Paya Luas, Temerloh untuk dimandikan, dikafan dan disolatkan.

TEMERLOH - Gambar suasana sambutan Hari Kebangsaan yang dikongsi Allahyarham, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan dalam kumpulan WhatsApp keluarga ketika berada di Putrajaya kini menjadi antara kenangan terakhir buat ahli keluarganya.

Abangnya, Mohd Hafiz Rifqi, 33, berkata, Nur Atiqah, 32, sebelum itu memaklumkan ke Kuala Lumpur bersama suami dan anak lelaki mereka sempena sambutan merdeka.

**media[3633089]**

“Arwah ada hantar gambar suasana di sana dan kami tahu mereka berada di Kuala Lumpur.

“Cuma kami tidak tahu bila mereka akan balik. Jadi kami tidak menjangka apa-apa apabila tiba-tiba mendapat tahu berita kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini pada Selasa.

Nur Atiqah maut bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, selepas Proton S70 yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) pada malam Isnin.

**media[3633066]**

Seorang lagi mangsa, Seow Beng Wain, 55, yang juga penumpang Honda CR-V, turut maut dalam nahas berkenaan.

Kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CR-V, dua Proton Saga, dua Perodua Myvi dan sebuah Perodua Aruz.

Berkongsi lanjut, Mohd Hafiz mengakui beliau antara waris terawal yang mengetahui berita mengenai kejadian itu selepas menerima laporan media sekitar jam 7.45 pagi.

“Dapat tahu daripada berita Sinar Harian dan kawan saya telefon saya, dia tanya betul ke tak. Saya pun memang tak sangka dan terkejut.

“Kami memang tahu mereka sekeluarga pergi ke Kuala Lumpur sebab 31 Julai ini dia pergi tengok perarakan dekat Putrajaya.

"Suami dia orang KL, jadi memang dia beritahu awal,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, kali terakhir dia bertemu Nur Atiqah adalah pada Khamis lalu ketika adiknya bersama suami dan anak mereka datang ke rumah keluarga untuk makan bersama.

Menurutnya, pertemuan itu berlangsung seperti biasa tanpa sebarang perubahan atau perkara yang menimbulkan rasa pelik, menyebabkan berita pemergian mereka amat sukar diterima.

“Kami makan dan berbual seperti biasa. Sebab itu apabila dapat tahu berita pagi tadi, memang terkejut dan masih tidak percaya,” katanya.

**media[3633067]**

Dalam pada itu, Hafiz berkata, arwah adiknya sememangnya mempunyai minat mendalam dalam bidang pembuatan kek sehingga memilih untuk meninggalkan pekerjaan terdahulu bagi mengusahakan perniagaan kafe sendiri.

“Dia memang minat buat kek. Itu memang 'passion' dia.

"Sebelum buka Secangkir Cafe, dia bekerja terlebih dahulu di Lynas, Gebeng sebelum memilih untuk menceburi bidang perniagaan.

“Alhamdulillah, kafe yang diusahakannya sejak dua tahun lalu itu juga agak dikenali dan dia mempunyai ramai kenalan serta pelanggan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut, empat cedera dalam nahas libatkan 11 kenderaan di LPT1

Nahas 4 maut: Lori tangki hilang kawalan rempuh 10 kenderaan

Nahas 11 kenderaan: Polis sahkan empat maut termasuk suami, isteri dan anak lelaki 4 tahun

Nahas 4 maut: 'Bila tengok gambar kemalangan, saya rasa itu kereta anak' - Bapa mangsa

Menurutnya, selain mengusahakan kafe, Nur Atiqah turut dikenali sebagai jurugambar di Kuantan dan aktif membina perniagaannya sendiri.

Jenazah Nur Atiqah, suami dan anaknya akan menjalani bedah siasat di Unit Forensik HoSHAS sebelum dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Paya Luas, Temerloh.

Ketiga-tiga jenazah kemudian dijangka dibawa pulang ke Kuantan untuk dikebumikan bersama di Tanah Perkuburan Islam Setali.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved