
KUALA LUMPUR – Isu penjualan semula Sambal Nyet Bilis pada harga lebih tinggi mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial selepas ada yang mendakwa produk berkenaan dijual oleh scalper sehingga RM25 sebotol.
Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna Threads yang mempersoalkan tindakan scalper selain menyatakan keadaan tersebut sudah “terlalu melampau”.
Malah, pengguna berkenaan turut mempersoalkan sama ada Khairul Aming menyedari perkara itu atau sekadar membiarkannya berlaku.
“Sambal tu dah di tangan dia”
Menjawab perkara tersebut, Khairul Aming menjelaskan bahawa beliau tidak boleh mengawal apa yang dilakukan pembeli selepas produk berkenaan sudah berada di tangan mereka.
Menurutnya, beliau juga tidak mengenali individu yang membeli produk tersebut untuk dijual semula.
“Sambal tu dah kat tangan dia apa saya boleh buat. Takkan saya nak pergi ketuk pintu rumah dia. Saya tak kenal pun siapa yang jual balik tu,” katanya menerusi Threads.
Beliau pada masa sama meminta pihak yang mempunyai cadangan penyelesaian supaya mengemukakannya, malah berkata beliau bersedia menggunakan penyelesaian tersebut sekiranya boleh membantu menangani masalah berkenaan.
“Kami berhempas pulas nak bagi yang terbaik untuk semua orang. Tapi please faham tak semua benda saya boleh kawal dalam dunia ni,” jelasnya.
Harga RM25 cetus perdebatan
Isu berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Seorang pengguna Threads, @reenahmd__, mengakui membeli Sambal Nyet Bilis daripada reseller pada harga RM25 sebotol dan berkata dia tidak kisah membayar lebih kerana terlalu mahu mendapatkan sambal berkenaan.
“Saya lah manusia yg beli sambal bilis RM25 tu & saya tak kisah pon. As long as saya dapat makan,” katanya. Dia turut mendedahkan membeli dua botol pada harga RM50.
Seorang lagi pengguna, @ntshazam_, turut berkongsi pengalaman membeli Sambal Nyet Bilis daripada reseller pada harga RM20.
Menurutnya, dia tidak kisah produk berkenaan dijual pada harga lebih tinggi kerana memang mahu mendapatkan sambal tersebut.
“Saya beli RM20 dekat reseller, saya tak kisah dia markup sbb saya memang nak sangat makan,” katanya sambil berkongsi gambar hidangan yang dimasak bersama Sambal Nyet Bilis.
Dalam pada itu, terdapat juga pengguna yang berpendapat kewujudan scalper sukar dielakkan selagi permintaan terhadap sesuatu produk kekal tinggi.
Bagaimanapun, sebahagian pengguna lain mempertikaikan tindakan membeli dalam kuantiti tertentu sebelum menjualnya semula pada harga lebih tinggi, khususnya apabila pembeli sebenar masih sukar mendapatkan produk berkenaan.
Setakat ini, Khairul Aming menegaskan pihaknya sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan Sambal Nyet Bilis dapat dijual kepada pelanggan pada harga asal, namun mengakui mereka tidak mampu mengawal tindakan individu yang memilih untuk menjual semula produk tersebut selepas membelinya. – The Malaysian Update
The post “Takkan Saya Nak Ketuk Pintu Rumah Dia” – Khairul Aming Jawab Isu Sambal Nyet Bilis Dijual Semula RM25 appeared first on The Malaysian Update.






