
BUTTERWORTH: Taktik sindiket penyeludupan migran yang membawa masuk warga asing menerusi laluan hutan di sempadan bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar susulan penahanan empat warga Myanmar di Jalan Masjid Negeri, Georgetown.
Kesemua mereka terdiri daripada seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat dan tiga wanita berusia lingkungan 20-an.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Hasbollah Din berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan selama kira-kira dua minggu sebelum sepasukan pegawai Unit Marin JKDM Pulau Pinang bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) menjalankan operasi pada 25 Oktober lalu.
Katanya, kira-kira pukul 3 pagi pasukan operasi mengesan sebuah kereta jenis Suzuki Swift berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di Jalan Masjid Negeri sebelum menahannya untuk pemeriksaan berhampiran sebuah stesen minyak.
”Pemeriksaan mendapati seorang lelaki berada di tempat duduk pemandu manakala tiga wanita yang merupakan saudara sepupu berada di tempat duduk penumpang belakang.
”Kesemua mereka dipercayai warga Myanmar dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga wanita berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurutnya, semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia turut mendapati tiada rekod keluar masuk negara bagi ketiga-tiga wanita terbabit.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati kumpulan migran itu dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan hutan di sempadan yang tidak diwartakan sebelum dibawa menggunakan kenderaan lain.
“Pergerakan mereka telah diekori dari Bukit Kayu Hitam sebelum pertukaran kenderaan dilakukan di George Town. Migran berkenaan kemudian dibawa menggunakan kereta yang dipandu lelaki terbabit dengan ditempatkan di tempat duduk belakang seolah-olah penumpang biasa,” katanya.
Tambahnya, tiada ejen lain yang menunggu ketiga-tiga wanita berkenaan dan kemasukan mereka dipercayai tidak melalui saluran ejen yang sah.
Katanya, pemandu berkenaan dituduh di Mahkamah Majistret George Town pada 6 November lalu mengikut Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) manakala prosiding pertuduhan terhadap tiga wanita itu ditetapkan pada 2 Disember ini.
Sementara itu, ketiga-tiga wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta sebatan tidak melebihi enam kali jika sabit kesalahan.-UTUSAN
The post Taktik sindiket seludup migran guna laluan hutan terbongkar appeared first on Utusan Malaysia.






