liza16/10/2026 - 15:02 Taman Tamadun Islam - Gambar hiasan janaan AI Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 16 Okt – Taman Tamadun Islam (TTI) mempergiatkan usaha menambah baik pengalaman pelancongan, kemudahan infrastruktur dan kualiti perkhidmatan sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Terengganu 2027 (TMT 2027).
Langkah itu merangkumi lebih banyak aktiviti interaktif, pembangunan pakej pelancongan yang lebih menarik serta kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan secara berperingkat bagi memastikan TTI terus menjadi antara destinasi pilihan pelancong ke Terengganu.
Pendekatan berkenaan turut mencerminkan usaha TTI menyesuaikan produk pelancongan sedia ada dengan perubahan cita rasa, kehendak dan corak perbelanjaan pengunjung, tanpa bergantung sepenuhnya pada pembangunan tarikan baharu.
Pengalaman baharu, tarikan sedia ada
Pengurus Besar Taman Tamadun Islam, Mohd Fadhil Wahab berkata antara inisiatif yang diperkenalkan ialah aktiviti Monument Explorer di Taman Monumen, yang menjadikan lawatan lebih interaktif menerusi misi pengembaraan yang perlu diselesaikan pengunjung.
“Selain itu, TTI turut mengetengahkan pengalaman Night Cruise sebagai aktiviti hujung minggu yang menawarkan pilihan kegiatan pada waktu malam yang masih terhad di Kuala Terengganu.
“Dua pendekatan itu memberi tumpuan kepada nilai tambah dan pengalaman berbeza melalui produk sedia ada, selaras dengan keperluan mempelbagaikan tarikan bagi memastikan pengunjung mempunyai lebih banyak sebab untuk meneroka TTI,” katanya kepada DagangNews.
RM2.9 juta untuk baik pulih kemudahan
Dalam usaha memastikan kemudahan terus berada dalam keadaan baik, TTI turut memperuntukkan kira-kira RM2.9 juta bagi kerja pembaikan Taman Monumen.
Peruntukan itu melibatkan kerja pembaikan monumen Alhambra dan Masjid Suleyman, kincir air, laluan pejalan kaki (boardwalk) serta tandas bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
Beliau berkata kerja penyelenggaraan dan baik pulih infrastruktur akan terus diberi perhatian secara berperingkat, selain usaha menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan melalui aktiviti gotong-royong yang turut dirancang untuk dilaksanakan secara berkala.
Lebih 12 juta pengunjung sejak 2008
Sejak mula dibuka pada 2008 hingga 2025, TTI merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 12,270,046 pengunjung, merangkumi pelancong tempatan dan luar negara.
Beliau berkata sepanjang 2025, seramai 531,211 pengunjung direkodkan manakala jumlah bagi tempoh Januari hingga September 2026 ialah 332,353 orang.
Angka berkenaan menjadi antara gambaran jangkauan TTI sebagai destinasi pelancongan, dengan persiapan menjelang TMT 2027 turut merangkumi perancangan program dan acara, pakej bersesuaian untuk keluarga, pelajar serta kumpulan pelancong, selain latihan kakitangan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.
TTI turut mengekalkan kerjasama dengan kerajaan, agensi pelancongan dan rakan media sebagai sebahagian daripada usaha menyokong kempen TMT 2027, dengan matlamat memastikan pengunjung bukan sahaja menikmati keunikan destinasi itu, malah membawa pulang pengalaman yang mendorong mereka untuk berkunjung semula. - DagangNews.com




