liza21/09/2026 - 14:24 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept – SP Setia Berhad melancarkan Setia Fontaines Heritage Park di Setia Fontaines, Kepala Batas, Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan kawasan itu sebagai sebuah perbandaran bersepadu yang mempunyai tarikan rekreasi dan komuniti.
Pelancaran taman warisan itu turut membuktikan usaha berterusan kumpulan berkenaan dalam membangunkan ruang awam yang mampu meningkatkan daya tarikan Setia Fontaines serta kawasan Seberang Perai Utara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata pembangunan itu bukan sahaja meningkatkan nilai dan daya tarikan Setia Fontaines sebagai sebuah perbandaran, malah menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi Kepala Batas dan kawasan Seberang Perai Utara.
“Usaha berkenaan mencerminkan peranan penting pelaburan sektor swasta dalam mewujudkan komuniti mampan, mengukuhkan ekonomi tempatan serta menyokong aspirasi pembangunan jangka panjang Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Setia Fontaines Heritage Park yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Ramli Ngah Talib baru-baru ini.
Taman warisan jadi tarikan rekreasi
Setia Fontaines Heritage Park meliputi kawasan seluas kira-kira 40.5 hektar (100 ekar) dan dilengkapi tasik buatan manusia seluas 25.5 hektar (63 ekar) serta pancutan air berirama sebagai sebahagian daripada kemudahan dalam pembangunan Setia Fontaines.
SP Setia berkata pembangunan ruang awam itu mencerminkan komitmennya untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong kehidupan berkualiti, aktiviti rekreasi, kesejahteraan dan hubungan dalam kalangan komuniti.
Pelancaran taman warisan itu turut disusuli Karnival Jom Mai Setia Fontaines yang menampilkan pelbagai aktiviti keluarga, program bertemakan Hari Malaysia, persembahan kebudayaan dan hiburan serta aktiviti berkaitan pelancongan.
Program berkenaan turut dirangka bagi menarik pengunjung dari Pulau Pinang dan kawasan utara, sekali gus meningkatkan penglibatan orang awam terhadap Setia Fontaines dan kemudahan yang disediakan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Zaini Yusoff berkata pelancaran itu mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan berkenaan terhadap Pulau Pinang serta keyakinannya bahawa pembangunan perbandaran yang berjaya perlu berteraskan penduduk, komuniti dan pengalaman bersama.
Setia Fontaines disasar jadi destinasi
Beliau berkata Setia Fontaines Heritage Park merupakan sebahagian daripada usaha SP Setia untuk membangunkan sesuatu yang melangkaui kediaman, menerusi perancangan ruang hijau awam dan pengalaman berasaskan komuniti.
Menurutnya, pendekatan berkenaan akan membentuk Setia Fontaines sebagai sebuah perbandaran bersepadu yang menyumbang kepada pertumbuhan Pulau Pinang serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada penduduk, pengunjung dan komuniti sekitar.
“Heritage Park juga berpotensi menjadi tarikan gaya hidup dan rekreasi baharu yang menyokong kunjungan orang awam serta meningkatkan daya tarikan Seberang Perai Utara dan kawasan utara secara lebih meluas.
“Usaha berkenaan turut disokong menerusi kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia, Penang Global Tourism, Maybank dan beberapa rakan lain bagi melaksanakan aktiviti berkaitan pelancongan serta penglibatan awam sempena pelancaran,” katanya.
Setia Fontaines dirancang sebagai sebuah perbandaran bersepadu yang terus berkembang di Kepala Batas, merangkumi komponen kediaman, komersial, rekreasi, gaya hidup dan peluang pekerjaan pada masa depan.- DagangNews.com





