Tambah kekuatan tentera di Sabah hadapi konflik Pulau Balabac, Filipina

LocalPolitics
3 Oct 2026 • 2:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tambah kekuatan tentera di Sabah hadapi konflik Pulau Balabac, Filipina
Mohamed Khaled berkata, langkah menyeimbangkan tentera di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak bagi memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi konflik

KOTA TINGGI - Kerajaan menyasarkan penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang seimbang, terutama di Sabah, sekiranya berlaku konflik di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah menyeimbangkan penempatan tentera 50 peratus di Semenanjung dan 50 peratus di Sabah serta Sarawak dicadang susulan perkembangan ketenteraan negara berkuasa besar di Pulau Balabac, Filipina.

Menurutnya, ketika ini kira-kira dua pertiga anggota ATM ditempatkan di Semenanjung, manakala satu pertiga lagi berada di Sabah dan Sarawak.

“Pada setiap masa kita ada lebih kurang 20,000 anggota. Kita nak supaya kedudukan anggota Sabah dan Sarawak itu 50 peratus di Semenanjung, 50 peratus di Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah sebahagian daripada persediaan pertahanan negara dengan mengambil kira kedudukan Sabah dan Sarawak yang berhampiran kawasan berpotensi berlaku konflik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan negara perlu memperkukuh pertahanan negara, terutamanya di Sabah, susulan perkembangan serantau yang melibatkan ketenteraan di Laut China Selatan.

Kebimbangan disuarakan berikutan kemungkinan berlakunya konflik hingga mengancam keselamatan penduduk.

Justeru, perhatian diberikan terhadap perkara berkenaan bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk membantu pertahanan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina, bukan bermaksud Malaysia melihat kawasan itu sebagai ancaman secara langsung.

“Bukan kita khuatir soal peningkatan ketenteraan di Pulau Balabac tetapi kedudukannya yang hampir dengan kita. Jika berlaku apa-apa pertikaian atau pertempuran di situ walaupun kecil dari segi geopolitiknya, kesannya boleh melimpah ke Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, kesiapsiagaan pertahanan perlu dipertingkat bagi menghadapi sebarang kemungkinan konflik, pertembungan atau provokasi yang berlaku di kawasan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved