
Kota Kinabalu: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa penambahan tempat pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi calon anak Sabah yang layak, susulan pengumuman peruntukan biasiswa RM1 juta oleh kerajaan negeri yang akan memberi keutamaan kepada pelajar dalam bidang perubatan.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, kerajaan negeri perlu memperluas inisiatif itu dengan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan UMS untuk meningkatkan pengambilan pelajar perubatan di universiti berkenaan.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib bahawa Sabah mahu melatih lebih ramai doktor tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga perubatan dari luar negeri.
“Peruntukan biasiswa RM1 juta itu akan memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian perubatan,” katanya.
Dr Brandon menyambut baik inisiatif itu dan merakamkan penghargaan kepada James, mengatakan MMA Sabah sejak sekian lama memperjuangkan usaha melatih lebih ramai doktor tempatan bagi membantu menangani kekurangan doktor yang berterusan di negeri ini.
“Walaupun inisiatif ini akan membantu memperkukuh tenaga kerja penjagaan kesihatan Sabah pada masa depan, langkah segera bagi menangani kekurangan doktor ketika ini serta meningkatkan usaha mengekalkan khidmat mereka juga sama penting,” katanya, pada Rabu.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri meningkatkan pelaburan dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) di kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi pendedahan awal, bimbingan kerjaya, sokongan pendidikan serta biasiswa.
“Pelajar berbakat dari komuniti ini perlu diberi setiap peluang untuk menceburi bidang perubatan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka,” katanya.




