
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju secara prinsip terhadap penambahan penyertaan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak sehingga 35 peratus dengan mengambil kira peningkatan nisbah perwakilan kedua-dua negeri tersebut berbanding kedudukan semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, persetujuan itu dicapai semasa mesyuarat jemaah menteri selepas dinyatakan oleh Perdana Menteri pada 11 September lalu.
Bagaimanapun, Azalina berkata, perkara tersebut adalah tertakluk kepada penelitian lanjut dengan mengambil kira semangat dan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta perkara-perkara yang telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memulakan proses rundingan, manakala pelaksanaannya tetap tertakluk kepada proses Perlembagaan yang berkenaan.
“Penetapan komposisi bilangan kerusi dalam Parlimen adalah di bawah bidang kuasa Parlimen melalui pindaan kepada Perkara 46, Perlembagaan Persekutuan berhubung komposisi Dewan Rakyat.
“Dalam menjalankan kajian ini, SPR diberikan tempoh masa selama dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut bermula dari tarikh tersiarnya notis yang disebut dalam Seksyen 4, Jadual 13, Perlembagaan Persekutuan sehingga laporan akhir kajian dikemukakan kepada Perdana Menteri seperti diperuntukan dalam Fasal 10, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan dalam laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) mengenai perancangan kerajaan untuk merealisasikan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sehingga sekurang-kurangnya 35% (atau satu pertiga) daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat, termasuk cadangan pindaan undang-undang dan garis masa pelaksanaannya. – UTUSAN
The post Kerajaan setuju tambah kuota 35 peratus kerusi Parlimen Sabah, Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.






