Tanah perkuburan semakin terhad, JAWI mula laksana kubur bertingkat

LocalHome & Living
29 Oct 2026 • 3:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tanah perkuburan semakin terhad, JAWI mula laksana kubur bertingkat

SHAH ALAM, 29 OCT: Kekangan ruang tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur mendorong Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan projek perintis kaedah kubur bertingkat bagi jenazah tanpa waris.

JAWI memaklumkan kaedah itu mula diperkenalkan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong pada Selasa sebagai alternatif menangani masalah kapasiti pengebumian di ibu negara.

Menurutnya, pelaksanaan kaedah berkenaan menggunakan mesin takal yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur bagi memudahkan proses menurunkan jenazah ke liang lahad.

"Dalam kaedah berkenaan, jenazah pertama diturunkan menggunakan pengusung kain kendong bertali dengan bantuan mesin takal, manakala dua atau tiga petugas berada di dalam kubur untuk menyambut jenazah.

"Selepas jenazah pertama diletakkan, alat penahan runtuhan tanah diangkat sebelum liang lahad ditutup dengan papan. Mesin takal kemudian dialihkan dan tanah dikambus sehingga kadar lima kaki dari aras liang lahad.

"Liang lahad kedua sedalam dua kaki kemudian digali di sebelah kiri menghadap kiblat sebelum jenazah kedua diturunkan menggunakan mesin takal dan ditutup dengan papan lahad serta dikambus sehingga ke permukaan asal," katanya dalam kenyataan.

Image from: Tanah perkuburan semakin terhad, JAWI mula laksana kubur bertingkat
Penggunaan mesin takal penurun jenazah yang dibangunkan JKR Kuala Lumpur bagi memudahkan proses menurunkan jenazah ke kedalaman lapan kaki. - Tangkap layar video JAWI

JAWI menjelaskan penggunaan peralatan itu dapat meningkatkan kecekapan proses pengebumian, selain memudahkan tugas petugas di lapangan.

Pada masa sama, jabatan itu terus meneroka penggunaan teknologi dan peralatan bersesuaian bagi menambah baik pengoperasian tanah perkuburan Islam.

Langkah berkenaan bertujuan memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tertib serta mematuhi tuntutan syarak.

Sebelum ini, media melaporkan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka hanya mampu menampung pengebumian sehingga 2029 berdasarkan kapasiti sedia ada.

Pada November 2025, JAWI bersama Universiti Sains Malaysia (USM) turut dilaporkan menjalankan kajian bagi merangka garis panduan pelaksanaan kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan sebagai alternatif menangani kekurangan ruang tanah perkuburan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved