![Image from: [VIDEO] Jenazah tanpa waris dikebumi secara bertingkat di Kepong](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-29-at-10.26.16-1024x713.jpeg)
PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memulakan pelaksanaan pengebumian jenazah secara kubur bertingkat bagi jenazah tanpa waris di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kepong.
Inisiatif perintis itu dilaksanakan menerusi Bahagian Pengurusan Masjid dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Dakwah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur bermula 27 Oktober lalu.
Jawi memaklumkan, pelaksanaan tersebut merupakan antara usaha mengoptimumkan penggunaan ruang tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur yang semakin terhad.
“Projek perintis ini turut mencatatkan satu pencapaian penting apabila terciptanya kaedah inovasi iaitu mesin takal penurun jenazah digunakan dalam proses pengebumian jenazah secara kubur bertingkat ini.
“Mesin takal berkenaan merupakan inovasi daripada JKR Kuala Lumpur yang dibangunkan bagi membantu memudahkan proses pengendalian dan penurunan jenazah di kedalaman lapan kaki,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.
Jawi turut memaklumkan, penghadang runtuhan tanah (trench box) juga digunakan dalam proses pengebumian bagi memastikan struktur keselamatan terjamin.
Pengarah Jawi, Hanifuddin Roslan turut hadir bagi melihat sendiri proses pengebumian jenazah dan penggunaan mesin takal berkenaan.
Jawi berharap penggunaan peralatan berkenaan dapat meningkatkan kecekapan proses pengebumian dan memudahkan tugas petugas yang terbabit.
“Usaha menambah baik dan menaik taraf pengoperasian tanah perkuburan Islam termasuk penerokaan penggunaan teknologi dan peralatan yang bersesuaian menjadi matlamat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan Jawi dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Usaha ini juga mencerminkan komitmen jabatan untuk memastikan pengurusan jenazah, dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tertib dan penghormatan selaras dengan tuntutan syarak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Jenazah tanpa waris dikebumi secara bertingkat di Kepong appeared first on Kosmo Online.






