Tanah runtuh: Anggota JBPM diberi sokongan moral pelihara mental dan fizikal - KP JBPM

19 Dec 2022 • 3:59 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BATANG KALI: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diberikan sokongan moral, mental dan fizikal untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tanah runtuh di sini, Jumaat lepas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (gambar) berkata ia penting bagi memastikan mental dan fizikal anggota-anggota JBPM yang sedang bertugas terpelihara daripada mengalami ‘burnout’ atau lesu upaya.

Beliau berkata pegawai-pegawai kanan jabatan itu sendiri memainkan peranan untuk memberikan sokongan moral kepada anggota di lapangan.

“Mereka kerja mengikut sistem pengiliran, rehat dan keperluan makanan perlu mencukupi.

“Sebab itulah kita ada kemudahan seperti tempat rehat, surau dan PKTK (Pos Kawalan Tempat Kejadian) di Red Zone dan Ground Zero (lapangan) supaya ketajaman, fokus, keselamatan dan kesihatan tidak terjejas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi mendapati cuaca mendung dan terdapat kenderaan anggota penyelamat keluar masuk di PKTK serta penambahan dua jentera jengkaut oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali itu, setakat ini menyaksikan 24 nyawa terkorban, sembilan lagi mangsa masih hilang dan 61 orang terselamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.-Bernama