Tanah runtuh: Pemaju, pemilik tanah perlu bertanggungjawab – Kon Yeow

27 Oct 2026 • 7:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tanah runtuh: Pemaju, pemilik tanah perlu bertanggungjawab – Kon Yeow

GEORGE TOWN : Pemaju serta pemilik tanah di kawasan cerun berhampiran lokasi tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini, perlu bertanggungjawab terhadap kejadian itu yang telah meragut nyawa seorang doktor, kelmarin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tanggungjawab itu termasuk bersedia dari segi implikasi undang-undang serta langkah untuk memulihkan kawasan yang terjejas.

“Mereka perlu bertanggungjawab terhadap kesan-kesan daripada runtuhan ini seperti memikul implikasi undang-undang dari segi kelulusan pelan itu dan kerja-kerja mitigasi untuk memulihkan keselamatan tapak,” katanya.

Kon Yeow sebelum itu meluangkan masa meninjau lokasi kejadian tanah runtuh itu dengan ditemani oleh beberapa Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, ketika ini, pihaknya telah menerima laporan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang serta draf laporan kejadian daripada Jabatan Kejuruteraan MBPP.

Katanya, laporan awal mendapati, runtuhan itu berlaku pada bahagian tapak yang belum menjalani kerja penstabilan cerun manakala hujan berterusan sejak beberapa hari lalu dipercayai menyebabkan air meresap ke dalam tanah dan menambah bebanan pada cerun berkenaan.

Bagaimanapun katanya, punca sebenar kejadian masih perlu diteliti sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat dengan laporan lengkap mengenai insiden itu dijangka dibentangkan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah diminta untuk mengarahkan semua pemaju projek pembangunan, khususnya di kawasan cerun, meningkatkan pemantauan tapak sepanjang musim hujan.

“Kerja pembinaan tertentu juga boleh dihentikan sementara bagi membolehkan pemantauan keselamatan diberi keutamaan dan langkah mitigasi segera dilaksanakan sekiranya perlu,” katanya.-UTUSAN

The post Tanah runtuh: Pemaju, pemilik tanah perlu bertanggungjawab – Kon Yeow appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved