
GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menjejaskan sebuah rumah di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.36 pagi dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dikejarkan ke lokasi.
“Kejadian menjejaskan bahagian belakang sebuah rumah dan laporan awal memaklumkan terdapat tiga mangsa, iaitu penghuni rumah itu namun dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri.
“Mangsa yang tertimbus telah disahkan meninggal dunia pada 9.10 pagi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) namun usaha mengeluarkan mayat masih dilakukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat 9.45 pagi, bomba masih berusaha untuk mengeluarkan mangsa.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba termasuk penyelia, sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).






