
PETALING JAYA: Syarikat pengeluar produk penjagaan diri dan kesejahteraan berasaskan bahan semula jadi, Tanamera memberi jaminan terhadap integriti keseluruhan produknya menerusi pematuhan piawaian halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengasas Bersama merangkap Pengarah Urusan Tanamera, Mohamad Faisal Ahmad Fadzil berkata, pengiktirafan halal tersebut bukan sekadar memenuhi syarat pasaran, sebaliknya ia mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menawarkan produk yang suci, selamat dan berkualiti tinggi kepada pengguna tempatan mahupun antarabangsa.
Katanya, kesedaran masyarakat terhadap penggunaan produk penjagaan diri yang sah dan diyakini dari segi hukum syarak kini semakin meningkat, sekali gus menuntut pengeluar untuk lebih teliti dalam setiap rantaian pengeluaran.
“Bagi Tanamera, halal bukan sekadar bebas daripada unsur haram, tetapi ia merangkumi keseluruhan aspek kebersihan, keselamatan ramuan, kebolehtelusan proses pengilangan, etika pengurusan, sehinggalah kepada pemeliharaan alam sekitar.
“Kami mahu pengguna berasa yakin dan selamat apabila menggunakan mana-mana produk Tanamera dalam rutin harian mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, proses untuk mendapatkan pensijilan halal Jakim memerlukan syarikat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat, terutamanya bagi produk yang menggunakan pelbagai sumber herba mentah.
“Kami memotong dan memproses sendiri ubat-ubat herba di dalam kilang bagi memastikan setiap peringkat pengeluaran bebas daripada sebarang unsur pencemaran.
“Standard ketat ini secara tidak langsung memaksa kami untuk beroperasi dengan lebih berdisiplin dan mengekalkan kualiti pada tahap tertinggi,” katanya.
Mengulas mengenai pasaran antarabangsa, Mohamad Faisal berkata, pensijilan halal daripada Jakim turut menjadi ‘pasport’ utama yang membina kepercayaan pengguna bukan Muslim di luar negara seperti Jepun, China dan Vietnam.
“Di Vietnam contohnya, rangkaian produk dan rawatan pasca melahirkan anak keluaran kami telah berjaya menembusi sektor perubatan profesional dan kini diguna pakai secara rasmi di 14 buah hospital tempatan.
“Kami yakin status halal yang disokong oleh kualiti produk ini akan terus memperkukuh kedudukan Tanamera dalam pasaran penjagaan diri premium yang semakin berkembang,” katanya.
Tambahnya, Tanamera kini berada dalam fasa akhir permohonan pensijilan ‘B Corp’ (Benefit Corporation) bagi mengukuhkan lagi pengiktirafan standard kelestarian dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat di peringkat global. – UTUSAN
The post Tanamera perkukuh integriti produk dengan sijil halal appeared first on Utusan Malaysia.




