Tang Jie-Su Yin kecundang aksi sulung

3 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tang Jie-Su Yin kecundang aksi sulung

AKSI kompetitif pertama beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Cheng Su Yin pada Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen berakhir tidak seperti diharapkan apabila terkandas seawal pusingan pertama.

Pada perlawanan yang berlangsung di Shenzhen Arena semalam, pasangan yang baru digandingkan itu terpaksa akur tewas kepada beregu tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui menerusi keputusan straight-set 14-21, 19-21.

Turun berdepan pilihan kelima kejohanan, Tang Jie-Su Yin pada awalnya sedikit bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik di set pertama apabila menyaksikan beregu lawan mendahului dengan selesa 13-6 sebelum menang.

Bersambung set kedua, aksi dilihat lebih sengit apabila gandingan negara berjaya memberikan cabaran kepada Xin Wa-Fang Hui, namun gagal untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila tewas tipis 19-21.

“Kami tewas hari ini (semalam) dan saya fikir banyak kesilapan daripada saya kerana terlalu gopoh, terutamanya ketika dua pukulan terakhir. Bagi saya, perkara ini perlu diperbaiki dengan segera.

“Selepas ini, kami akan ke Sukan Asia dan antara elemen yang perlu diberikan perhatian adalah komunikasi selain mencari rentak terbaik sebelum ke sana,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, Tang Jie-Su Yin akan menggalas tanggungjawab cukup besar pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun hujung bulan ini selepas ketiadaan Toh Ee Wei yang sedang menjalani pemulihan kecederaan.

Sementara itu, Su Yin pula menyifatkan dia dan Tang Jie sudah mula membentuk keserasian pada perlawanan tersebut, terutamanya ketika menyaksikan mereka bangkit dengan aksi lebih baik di set kedua.

“Saya fikir persembahan dan persefahaman kami boleh dikatakan agak baik tetapi masih ada banyak perkara yang boleh diperbaiki,” ujar pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

The post Tang Jie-Su Yin kecundang aksi sulung appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved