TANGAN kanan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin terpaksa dipotong atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya susulan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengesahkan perkara itu selepas pembedahan atlet berusia 22 tahun itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selesai kira-kira jam 8.40 malam pada Selasa selepas mengambil masa hampir tujuh jam.
"Setakat pagi ini, kami belum mendapat maklumat sama ada beliau sudah dipindahkan ke wad biasa atau belum kerana masih di bawah kesan bius.
"Setakat selepas jam 4.30 pagi tadi, beliau masih belum sedar dan mungkin akan mengambil sedikit masa, berkemungkinan pada pagi ini (untuk sedar)," katanya kepada Sukan Sinar.
Ayub berkata, pihak PABM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) turut memberikan sokongan moral kepada Hafizuddin dan keluarganya bagi membantu atlet itu menghadapi situasi sukar berkenaan.
Menurutnya, aspek sokongan psikologi dan kaunseling awal turut diberi perhatian memandangkan insiden berkenaan pastinya memberi kesan besar kepada kehidupan Hafizuddin.
"Kita bersama MSN berada di hospital sejak pagi semalam bagi mengikuti perkembangan keadaannya.
"Kita juga sudah berbincang mengenai keperluan menyediakan kaunseling dan sokongan moral kerana kita faham keadaan ini bukan mudah untuk diterima," katanya.
Hafizuddin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengakibatkan kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala.
Sebelum ini, beliau mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Hafizuddin mencatatkan jumlah angkatan keseluruhan 345kg menerusi 162kg dalam acara snatch dan 183kg bagi acara clean and jerk.
Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch dengan angkatan 162kg selain melakar rekod baharu temasya Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan.






