ISU anjing liar bukan perkara baharu. Sebelum ini pun sudah beberapa kali kecoh mengenai anjing berkeliaran, termasuk kes membabitkan Rocky yang mendapat perhatian ramai.
Belum pun isu itu benar-benar reda, sekali lagi masyarakat dikejutkan dengan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing dipercayai liar di Peserai, Batu Pahat, pada Sabtu.
Apabila perkara seperti ini berlaku, memang ramai akan mula bertanya, sampai bila masalah anjing liar ini mahu dibiarkan?
Bukan soal mahu membenci anjing atau tidak, tetapi apabila haiwan berkenaan berkeliaran dalam jumlah yang banyak dan boleh mendatangkan bahaya, keselamatan orang awam perlu diberi perhatian.
Bayangkan jika yang diserang itu bukan orang dewasa, tetapi kanak-kanak kecil seperti dalam kejadian terbaharu ini.
Sudah tentu ibu bapa akan berasa takut untuk membiarkan anak bermain di luar atau berjalan di kawasan kejiranan sendiri.
Sebab itu, apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan operasi menangkap anjing liar, tindakan tersebut tidak sepatutnya terus dianggap sebagai tindakan kejam.
Ada masanya tindakan itu perlu dibuat kerana haiwan berkenaan berada di tempat yang tidak sepatutnya dan berisiko mengancam keselamatan orang lain.
Selain itu, anjing liar tidak muncul begitu sahaja. Kemungkinan dahulu ada tuan, tetapi dibuang. Mungkin juga ada yang terlepas dan kemudian dibiarkan membiak tanpa kawalan sehingga akhirnya berkeliaran dan menjadi masalah kepada masyarakat.
Jadi, jika seseorang memilih untuk membela anjing, tanggungjawab itu bukan sekadar memberi makan dan menyediakan tempat tinggal.
Pemilik juga perlu memastikan haiwan peliharaan tidak berkeliaran dan tidak menimbulkan ancaman kepada orang lain.
Jika benar anjing itu milik seseorang, pemilik perlu tampil dan bertanggungjawab apabila berlaku masalah.
Tidak boleh apabila PBT mahu menangkapnya, baru mengatakan anjing itu ada pemilik, sedangkan sebelum itu haiwan berkenaan dibiarkan berkeliaran.
Sebab itu, penyelesaian isu anjing liar tidak boleh bergantung kepada PBT semata-mata.
Pemilik haiwan, masyarakat dan pihak berkuasa semuanya mempunyai peranan masing-masing.
PBT perlu bertindak apabila menerima aduan, terutama jika membabitkan kawasan yang berisiko kepada kanak-kanak dan penduduk.
Pada masa sama, tindakan terhadap pemilik yang gagal mengawal haiwan juga perlu dilaksanakan berdasarkan undang-undang supaya wujud rasa tanggungjawab.
Masyarakat pula jangan hanya marah apabila operasi dijalankan, tetapi dalam masa sama membiarkan haiwan terus berkeliaran tanpa kawalan.
Tangkap bukan bermakna benci, kawal bukan bermakna zalim dan yang penting, jangan sampai kerana terlalu lama bertolak ansur, keselamatan orang awam pula menjadi taruhan.





![[VIDEO] Dipanggil ‘baby’, anjing K9 terus ‘naik angin’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-30-at-4.55.47-PM.jpeg)