
Kota Kinabalu: Tangki air statik dihantar ke kawasan setinggan di sini bagi membendung kegiatan sambungan haram yang mengganggu bekalan air ke ribuan rumah.
Menteri Kerja Raya Negeri Datuk Shahelmey Yahya berkata, usaha ini, termasuk di Kampung Brunei, dekat sini, merupakan sebahagian daripada langkah lebih besar untuk menstabilkan pengagihan air, khususnya di kawasan kejiranan yang sering terjejas akibat kebocoran dan tekanan air rendah.
“Kami mendapati beberapa sambungan tidak sah di kawasan ini, yang bukan sahaja mengurangkan tekanan air di hiliran tetapi juga menjejaskan integriti saluran paip. Untuk mengurangkan kecurian, kami membekalkan tangki air statik,” katanya semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Putatan pada Ahad.
Bagaimanapun, katanya lagi, pelaksanaan usaha ini berdepan isu tanah yang timbul di tengah-tengah pelaksanaan dan pihaknya sedang berusaha menyelesaikannya sebelum meneruskan projek.
Shahelmey, yang juga Timbalan Ketua Menteri, menegaskan bahawa bekalan air itu tidak diberikan secara percuma.
“Mereka memang perlukan air dan bukan semuanya pendatang tanpa izin. Ramai juga penduduk tempatan tinggal di sana, walaupun saya tidak dapat anggarkan jumlahnya. Tapi sudah tentu, air perlu dikenakan bayaran, bukan percuma,” katanya apabila ditanya mengapa kerajaan membekalkan air dan bukannya merobohkan penempatan setinggan.
Beliau mengakui gangguan bekalan air semakin membimbangkan, termasuk yang melibatkan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Rabu (16 April), semasa sidang sedang berlangsung.
“Gangguan baru-baru ini berpunca daripada paip utama berdiameter 1,000mm yang pecah di Tuaran. Ia dibaiki dalam masa kurang dua hari, dan tangki utama K1 mula diisi semula pada pagi Khamis (17 April).
“Bagaimanapun, apabila tangki K1 mencapai paras yang baik, kami mengesan satu lagi kebocoran pada saluran paip di Kampung Brunei, Sepanggar. Paip ini menghantar air dari K1 ke tangki R13 di UMS.
“Kebocoran itu, yang berpunca daripada sambungan haram, dibaiki pada Khamis. Menjelang awal pagi Jumaat (18 April), paras tangki R13 melebihi tiga meter dan bekalan dapat disambung semula kepada pengguna.”
Beberapa kawasan, termasuk Alam Mesra, menghadapi kelewatan tambahan disebabkan udara terperangkap dalam paip.
“Kami terpaksa minta Jabatan Air untuk pam paip bagi mengeluarkan udara terperangkap itu,” katanya.
Shahelmey berkata kawasan seperti Kampung Likas masih mengalami tekanan air rendah, sering kali disebabkan sekatan dalam paip akibat sambungan haram.
Tambahnya, walaupun isu tanah menyebabkan kelewatan dalam usaha pemulihan, peningkatan menyeluruh dapat dijangka apabila kerja-kerja naik taraf infrastruktur selesai.
“Sebaik sahaja paip agihan baharu dari Telibong II siap dan diintegrasikan dengan Telibong I, pengeluaran air akan mencapai tahap optimum. Buat masa ini, pengeluaran masih terhad sekitar 100 hingga 105 juta liter sehari. Berdasarkan lawatan tapak terakhir saya pada Mac lalu, saya yakin projek ini akan siap menjelang akhir Jun,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Shahelmey berkata beliau akan mempengerusikan bersama mesyuarat dengan Menteri Kerja Raya Persekutuan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menangani cabaran dalam Fasa 1B projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
“Kami mahu elakkan kelewatan seperti yang berlaku dalam Fasa 1A, terutama dari segi reka bentuk teknikal, pemindahan utiliti, dan pengambilan tanah.”
Beliau berkata pengambilan tanah ketika ini perlahan akibat kekurangan tenaga kerja di jabatan penilaian dan tanah.
Namun, jabatan berkaitan telah diarahkan untuk menambah tenaga kerja dengan apa cara sekalipun.
“Kalau itu dapat dilakukan, ia akan mempercepatkan proses penilaian dan pengambilan tanah.
“Kebimbangan utama saya masih berkisar pada pemindahan utiliti, yang sering tertangguh akibat prosedur dalaman dan isu bajet. Sebab itulah kami adakan mesyuarat bulanan, untuk tangani masalah lebih awal dan pastikan projek berjalan mengikut jadual,” katanya.

