Tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, ECRL tidak boleh dilancarkan - Wee Ka Siong

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 2:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, ECRL tidak boleh dilancarkan - Wee Ka Siong Image from: Tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, ECRL tidak boleh dilancarkan - Wee Ka Siong hamden19/11/2026 - 14:36 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Pelancaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan pada 12 Disember ini berdepan persoalan sama ada akan diteruskan atau sebaliknya kerana berdasarkan peraturan sedia ada perkhidmatan rel itu tidak boleh dilancarkan tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan.

 

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika membangkitkan perkara tersebut di Dewan Rakyat berkata, mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, tandatangan Menteri Pengangkutan diperlukan sebelum sistem kereta api baharu boleh dibuka untuk operasi.

 

Dengan pelancaran hanya berbaki tiga minggu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mempersoalkan sama ada kerajaan sudah membuat persiapan atau menyediakan pelan alternatif bagi memastikan kelulusan berkenaan diperoleh tepat pada masanya.

 

"Tanpa kelulusan itu, pelancaran tidak boleh diteruskan," katanya ketika membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

 

Beliau turut meminta penjelasan sama ada kelulusan berkenaan perlu diperoleh sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 hari sebelum tarikh pelancaran.

 

Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan bahawa tandatangan menteri diperlukan bagi tujuan berkenaan.

 

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha kementerian pada hari sebelumnya dan yakin kerajaan akan menelitinya.

 

"Kita tunggu dan lihat. Mungkin Menteri Pengangkutan baharu akan dilantik dalam tempoh seminggu ini," katanya.

 

Hasbi turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan majlis pelancaran ECRL pada 12 Disember ini.

 

Untuk rekod, Loke mengemukakan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan pada 10 November lalu sebagai tanda bantahan terhadap isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Bagaimanapun, Anwar masih belum membuat keputusan sama ada menerima peletakan jawatan itu, selepas menyatakan hasrat untuk mengadakan rundingan dengan Loke. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved