Tawar khidmat seks RM20, wanita tiga anak didenda RM5,000

12 Oct 2026 • 7:14 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tawar khidmat seks RM20, wanita tiga anak didenda RM5,000

SHAH ALAM, 12 OKT: Seorang wanita warga Indonesia yang mempunyai tiga anak didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka di Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah atas dua kesalahan syariah, termasuk menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM20.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah, Abu Bakar Mohd Daud menjatuhkan denda RM3,000 bagi kesalahan melacurkan diri dan RM2,000 bagi kesalahan berkurung dalam keadaan yang mendatangkan syak dengan lelaki bukan mahram.

Tertuduh, Ika Sitepu, 38, turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lapor BH Online.

Mengikut pertuduhan pertama, Ika didakwa melacurkan diri dengan seorang lelaki berusia 44 tahun yang bukan suaminya yang sah di sisi hukum syarak, mengikut Seksyen 75 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkurung dalam keadaan yang mendatangkan syak dengan lelaki bukan mahram, mengikut Seksyen 53(2) enakmen sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik di Rumah Tumpangan Perfect, Lorong Bukit Cina, kira-kira jam 3 petang, 11 Oktober lalu.

Ketika merayu supaya hukuman diringankan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan suaminya telah meninggal dunia dan dia perlu menanggung tiga anak di Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta kepentingan pencegahan terhadap tertuduh dan masyarakat.

“Perbuatan tertuduh bukan sekadar membabitkan hubungan peribadi, sebaliknya membabitkan unsur pertukaran wang bagi suatu perkhidmatan yang bercanggah dengan hukum syarak,” hujahnya.

Tertuduh kemudian menjelaskan bayaran denda yang dikenakan mahkamah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved