Tawar urut batin serendah RM80, 22 termasuk warga asing ditahan

LocalPolitics
11 Apr 2026 • 2:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota penguat kuasa JIM Negeri Johor melakukan serbuan ke atas premis urut dan rekleksogi di Johor Bahru, yang disyaki melakukan aktiviti tidak bermoral. Foto JIM Johor

JOHOR BAHRU - Kegiatan dua premis urut dan refleksologi menawarkan perkhidmatan urut batin pada serendah RM80 bagi satu sesi terbongkar selepas diserbu dalam operasi khas pada Khamis.

Serbuan kira-kira jam 3 petang itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menerusi Ops Gegar di dua premis urut dan refleksologi di sekitar bandar raya ini.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 22 individu termasuk warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral serta penyalahgunaan pas lawatan sosial.

Menurutnya, premis terbabit dipercayai berselindung di sebalik perkhidmatan urut tradisional namun menawarkan servis urut batin kepada pelanggan.

“Hasil pemeriksaan mendapati 21 warga asing terdiri daripada tujuh lelaki dan 14 wanita berusia antara 18 hingga 41 tahun ditahan.

“Mereka melibatkan warganegara Myanmar dan China yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, turut diberkas seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis serta dalang utama mengatur operasi dan pengambilan pekerja warga asing.

Menurutnya, premis berkenaan didapati menawarkan pakej tertentu termasuk ‘perkhidmatan tambahan’ pada harga murah bagi menarik pelanggan.

"Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tindakan lanjut.

"Tujuh saman turut dikeluarkan kepada saksi untuk membantu siasatan," ujarnya.