Tayangan Drama ‘Madu atau Racun’ Ditolak, Sentuh Sensitiviti Agama Dan Norma Budaya Tempatan

LocalMovie
2 Sep 2026 • 2:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kerajaan menolak tayangan drama ‘Madu atau Racun di platform berbayar iQIYI akan dihentikan, susulan kontroversi yang timbul dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya amat kesal dengan tayangan drama berkenaan yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat. 

Menurut beliau, penerapan unsur-unsur bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.

“Prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut,” katanya. 

Dr Zulkifli Hasan
Dr Zulkifli Hasan

Tegas Zulkifli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan, berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015).

“Tindakan juga akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada demi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama,” katanya. 

Semua penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran jelas beliau, perlu sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa. 

“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat. 

“Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan,” katanya.

Madu atau Racun yang mengandungi 12 episod dan dibintangi Uqasha Senrose, Aliff Aziz dan Elisya Sandha itu memulakan tayangan pada 14 Ogos lalu, dengan episod baharu disiarkan pada setiap Jumaat dan Sabtu jam 9 malam. - Getaran, 2 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved