
Kota Kinabalu: Pengukuhan sektor tenaga akan terus menjadi antara keutamaan strategik Kerajaan Sabah dalam agenda pembangunan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan Sabah bukan sahaja mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi dan boleh dipercayai, malah membangunkan sistem tenaga yang lebih cekap dan mampan demi manfaat generasi akan datang.
“Atas sebab itu, Kerajaan Sabah telah menerima pakai Pelan Hala Tuju dan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-Ramp 2040) sebagai pelan tindakan strategik pembangunan sektor tenaga negeri.
“Pelan ini menjadi panduan untuk memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu serta memastikan pembangunan sektor tenaga terus menyokong aspirasi ekonomi negeri.
“Usaha ini bertujuan memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, boleh dipercayai dan mampu milik, selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya pada majlis pelancaran program Sabah Sustainable Energy for the People, di sini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, manakala Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menyempurnakan pelancaran program berkenaan.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) atas komitmen berterusan menerajui pembangunan sektor tenaga negeri menerusi pendekatan yang progresif, berpandangan jauh dan berorientasikan rakyat.
“Hari ini kita menyaksikan satu lagi pencapaian penting ke arah merealisasikan aspirasi itu menerusi pelancaran Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (SEEAP) dan Program Solar Rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata pelbagai inisiatif yang dilancarkan membentuk ekosistem saling melengkapi bagi menyokong agenda peralihan tenaga Sabah.
“Pengiktirafan projek solar, pelaksanaan inisiatif Government Lead by Example, kerjasama dengan institusi latihan, pembangunan usahawan menerusi memorandum persefahaman dengan Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken), serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat membuktikan pembangunan tenaga mampan memerlukan penyertaan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri juga mahu melihat penggunaan tenaga yang lebih berhemah dan cekap dalam semua sektor, di samping memberi lebih ramai rakyat Sabah peluang memanfaatkan tenaga boleh baharu.
“Kita mahu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi, pelaburan dan pembangunan industri tenaga yang mampu menjana nilai lebih besar kepada ekonomi negeri.
“Peralihan tenaga bukan sekadar melibatkan teknologi. Ia merupakan satu transformasi yang merangkumi dasar, pelaburan, pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat.
“Kerjasama sedemikian penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memastikan sektor tenaga dibangunkan secara terancang, mampan dan berdaya tahan menerusi kerjasama yang lebih kukuh dengan Kerajaan Persekutuan, ECoS, pemain industri, pelabur, institusi kewangan, sektor swasta serta pihak berkepentingan lain bagi menyokong pembangunan jangka panjang Sabah.






