
SHAH ALAM, 23 SEPT: Suri rumah berusia 49 tahun didakwa ditampar, dihantuk kepala dan dicekik suaminya selepas menegur lelaki itu yang sering keluar malam.
Kejadian berlaku di rumah pasangan berkenaan di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, Kangar jam 9.30 malam, 15 September lalu sebelum pergaduhan itu dileraikan anak perempuan mereka.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suaminya berusia 56 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.
Menurutnya, mangsa terlebih dahulu menegur suaminya dan meminta lelaki berkenaan tidak keluar rumah selepas mengesyaki dia mahu berjumpa wanita lain.
“Suspek yang berang dengan tuduhan dia mempunyai wanita lain bertindak menampar pipi kiri mangsa, selain turut menghantukkan kepalanya ke arah dahi wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata mangsa yang cuba mempertahankan diri kemudian mencakar bahu suspek, namun lelaki itu menolak mangsa sehingga terjatuh di atas sofa di ruang tamu sebelum cuba mencekik lehernya.
Pergaduhan itu berjaya dileraikan anak perempuan mangsa yang ketika kejadian berada di dapur, sebelum wanita terbabit menyelamatkan diri dengan masuk ke bilik tidur.
“Hasil siasatan lanjut mendapati wanita itu menjadi mangsa penderaan suaminya sejak hampir dua tahun lalu, malah mendakwa pernah dipukul sehingga pengsan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, mangsa mengalami kesan lebam di perut akibat kejadian terbaharu itu dan menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Polis menahan suspek bagi membantu siasatan dan lelaki itu direman selama empat hari sehingga 26 September.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT).




.jpg)