Teh, Kopi Terlalu Panas Undang Risiko Kanser Esofagus

Health & Fitness
12 Sep 2026 • 8:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Teh, Kopi Terlalu Panas Undang Risiko Kanser Esofagus

LONDON - Pengambilan teh atau kopi pada suhu 65 darjah Celsius dan ke atas secara kerap boleh meningkatkan risiko kanser esofagus hampir tiga kali ganda, menurut kajian Universiti Oxford membabitkan 977,282 lelaki dan wanita berusia pertengahan.

Kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Cancer itu mendapati individu yang kerap mengambil minuman pada suhu dikategorikan sebagai “sangat panas” berdepan risiko kanser esofagus kira-kira tiga kali lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil minuman pada suhu suam.

Menurut penyelidik, minuman yang terlalu panas berpotensi mencederakan lapisan esofagus ketika melalui saluran berkenaan sebelum sampai ke perut.

Kajian itu turut mendapati pengambilan enam atau lebih minuman panas sehari dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser berkenaan.

Walaupun penambahan susu boleh menurunkan sedikit suhu teh atau kopi, penyelidik memberi amaran, minuman berkenaan mungkin masih terlalu panas untuk diminum dengan selamat.

Teh yang dibancuh sejurus selepas air mendidih boleh mencapai suhu hampir 100 darjah Celsius. 

Bagaimanapun, suhunya lazimnya menurun kepada sekitar 90 hingga 95 darjah Celsius selepas dituangkan ke dalam cawan.

Penyelidik utama, Dr Keren Papier, berkata kajian terdahulu di Amerika Selatan, khususnya di kawasan yang menyaksikan pengambilan minuman herba pada suhu sangat panas, turut menunjukkan kaitan serupa antara pengambilan minuman panas dengan kanser esofagus.

“Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti suhu tepat minuman yang dikaitkan dengan peningkatan risiko,” katanya. - Getaran, 12 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved