Teh Wan Wei letak jawatan sebagai CEO Sentral REIT

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2025 • 9:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Teh Wan Wei letak jawatan sebagai CEO Sentral REIT

image is not available

25/09/2025 - 09:09

Teh Wan Wei Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept – Sentral REIT mengumumkan peletakan jawatan Teh Wan Wei sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sentral REIT Management Sdn Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sentral REIT berkata, Teh, 47, kini sedang menjalani tempoh notis dan meletakkan jawatan untuk meneruskan peluang kerjaya lain.

“Pelantikan pengganti akan dimaklumkan dalam pengumuman seterusnya,” kata Sentral REIT.

Teh dilantik sebagai CEO pada 1 April 2022, menggantikan Yong Su-Lin yang berkhidmat selama enam tahun.

Sentral-REIT berkata, Teh mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri hartanah.

Beliau juga pernah berkhidmat di CIMB-Mapletree Management Sdn Bhd dan mengetuai bahagian pelaburan, pengurusan dana, pengurusan pembangunan serta pengurusan aset bagi sebuah portfolio aset hartanah, sebelum meninggalkan syarikat itu sebagai Ketua Pegawai Pelaburan.

image is not available

Sentral REIT, yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2007 sebagai Quill Capita Trust, menguruskan hartanah komersial utama di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, termasuk Menara CelcomDigi, Menara Shell, Platinum Sentral dan sebahagian daripada Plaza Mont Kiara.

Bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun 2025, pendapatan hartanah bersih REIT merosot 2.5% kepada RM36.97 juta berbanding RM37.91 juta setahun sebelumnya.

Antara faktor utama disebabkan pendapatan sewa lebih rendah daripada Menara Shell serta pelarasan perakaunan di bawah Malaysian Financial Reporting Standard 16.

Pendapatan suku tahunan pula menurun 2.7% kepada RM47.70 juta daripada RM49.03 juta, sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan lebih tinggi daripada Bangunan Sentral 3 dan 4 serta kos operasi lebih rendah.

Pada akhir Jun, kadar penghunian purata REIT kekal sihat pada 85%, dengan tempoh sewaan purata berwajaran hingga tamat 4.54 tahun. - DagangNews.com

standard