Tekanan antara aspek siasatan kematian guru di sekolah

19 Aug 2026 • 2:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tekanan antara aspek siasatan kematian guru di sekolah
Laporan Sinar Harian. Shazeli (kiri)

SHAH ALAM - Tekanan antara aspek siasatan yang dijalankan melibatkan kes seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia dalam satu kejadian di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor, Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan masih dijalankan meskipun kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurutnya, polis telah mengambil keterangan daripada ahli keluarga, pegawai perubatan serta rakan-rakan mangsa bagi membantu siasatan.

"Walaupun kes SDR, SDR itu sendiri adalah salah satu bentuk siasatan kerana ia tidak melibatkan rumusan sebagai satu kesalahan jenayah.

"Siasatan masih dijalankan dan keterangan telah diambil daripada ahli keluarga, pihak pegawai perubatan serta rakan-rakan yang berkaitan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia dalam kejadian di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor pada Khamis.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai SDR dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian mangsa.

Shazeli berkata, polis masih belum memuktamadkan siasatan dan akan terus mengambil keterangan daripada individu yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Siasatan belum sampai ke penghujungnya. SDR tersebut masih lagi aktif, jadi saya tidak boleh beri komen sehingga kita selesai dan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Rakaman percakapan melibatkan pelbagai aspek individu termasuk rakan-rakan sekerja mangsa,” katanya.

Katanya, polis tidak akan mengecualikan mana-mana individu yang boleh membantu siasatan, termasuk rakan sekerja mangsa.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah saksi yang telah dipanggil untuk direkodkan percakapan.

"Saya rasa tidak perlu saya kongsikan jumlah berapa saksi yang telah dipanggil, cuma memang rakaman sedang diambil dan akan diambil lagi, itu sebahagian daripada siasatan," katanya.

Mengulas kemungkinan mangsa mengalami tekanan, beliau berkata perkara itu turut menjadi antara aspek yang akan diteliti sekiranya mempunyai kaitan dengan siasatan.

"Sudah tentu, sebab kita melihat pelbagai aspek, kita tidak pernah meluluskan sesuatu selagi siasatan belum selesai.

"Sekiranya tekanan itu merupakan salah satu yang perlu dilihat, sudah tentu kita akan ke arah tersebut juga, selagi belum selesai siasatan dan tidak dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya berserta dengan cadangan, semua aspek siasatan masih terbuka," katanya.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved