
Walaupun kelihatan mudah untuk dipancing, namun mendapatkan haruan bersaiz besar masih memerlukan teknik, umpan dan pemilihan lokasi yang tepat.
Teknik paling popular untuk memburu haruan di sini adalah dengan menggunakan gewang berbentuk katak, sama
ada yang diperbuat daripada getah seperti soft frog ataupun kayu macam jump frog.
Selain itu, gewang seperti spinnerbait atau soft plastic (SP) juga popular.
Menariknya, ramai pemancing haruan di sini gemar menggunakan gewang-gewang yang dibuat sendiri atau menyokong pembuat gewang tempatan seperti jenama Wali Handmade dan banyak lagi.
Pemilihan lokasi merupakan faktor paling penting ketika memburu haruan.
Ikan ini gemar kawasan air yang tenang, cetek dan mempunyai banyak tempat perlindungan seperti reba kayu dan rumpair.
Oleh itu, parit sawah, tali air, paya, lombong kecil dan kolam terbiar sering menjadi habitat yang baik untuk ikan haruan.
Persembahan gewang
Gewang soft frog sangat sesuai digunakan di perairan dipenuhi tumbuhan air seperti kiambang, teratai dan lumut terapung yang menjadi kanopi redup buat haruan di paya, parit serta tali air.
Oleh kerana soft frog dibuat untuk kalis sangkut dengan mata kailnya terselindung di tepi badan gewang, ia boleh terus dimainkan di atas tumbuhan air ini secara perlahan-lahan.
Rupa soft frog seperti katak dengan pergerakan seakan sama boleh menarik perhatian ikan haruan yang berlindung di bawah kanopi tumbuhan terapung itu.
Jika haruan menyambar soft frog, jangan cepat melatah kerana ia amat memeranjatkan.
Jadi, jangan terlalu pantas menyentap joran. Beri sedikit masa dalam beberapa saat supaya ikan benar-benar menelan gewang barulah joran disentap.
Jump frog yang diperbuat daripada bahan kayu ringan pula lebih sesuai digayakan di tepi atau pinggir tumbuhan air kerana ia beraksi seperti popper.

Bunyi ‘pop’ dan percikkan air yang dihasilkannya mampu menarik minat ikan haruan untuk keluar dari tempat persembunyiannya lalu membantai gewang.
Tidak seperti soft frog yang perlu sedikit masa sebelum disembat, jump frog pula perlu lebih tangkas dirembat sebaik haruan membahamnya.
Jika memancing haruan di kawasan air yang dalam pula, gewang seperti spinnerbait lebih sesuai digunakan.
Juraian getah yang menyembunyikan mata kail menjadi profil kalis sangkut kepada gewang ini dan kilauan besi berputar (blade) di hujungnya menjadi penarik tambahan kepada haruan di perairan dalam dan gelap.
Spinnerbait ditarik secara perlahan-lahan dan paling penting, harus membuatkan blade sentiasa berputar semasa dimainkan.
Satu lagi gewang ideal untuk kawasan dalam adalah soft plastic (SP) yang boleh dipersembahkan secara kalis sangkut stail Texas rig.

Walau apa jenis gewang sekalipun, tip asas untuk pemilihan adalah gewang warna menyerlah dan terang kerana lebih mudah dilihat dalam air keruh.
Sementara gewang warna natural lebih sesuai diguna ketika air lebih jernih.
Masa
Waktu awal pagi dan lewat petang biasanya menjadi masa yang produktif untuk memancing haruan kerana ketika keadaan tidak terlalu panas, ia lebih aktif mencari makanan.
Waktu selepas hujan juga merupakan antara masa haruan aktif mencari makanan akibat perubahan cuaca yang menurunkan suhu di persekitarannya.

Perairan yang ada aliran air masuk dan keluar biasanya produktif untuk mencari haruan kerana menjadi tempat ikan-ikan kecil menunggu makanan hanyut.
Namun, sentiasa pastikan aktiviti memancing dilakukan di kawasan yang dibenarkan dan elakkan merosak habitat semula jadi.
Apa yang paling penting adalah mengetahui habitat, memilih umpan yang sesuai dan menggunakan teknik betul.
Ikan haruan juga mempunyai khasiat kesihatan yang terbukti berkesan kepada mereka yang baru selesai menjalani pembedahan dan ibu-ibu yang baru bersalin.
Ia juga sedap dimasak pelbagai jenis hidangan.
The post Teknik pancing haruan popular di Kota Bharu appeared first on Kosmo Digital.




