
KUALA LUMPUR: Benteng pertahanan di sempadan negara diperkasa melalui penggunaan dron, teknologi kecerdasan buatan (AI), dan kerjasama perkongsian risikan dengan negara jiran.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keselamatan sempadan kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kekuatan anggota.
Katanya, KDNKA kini bergerak ke arah penguatkuasaan berasaskan teknologi melalui penggunaan dron, mempertingkat perkongsian risikan dan meneroka penggunaan AI bagi memperkukuh keupayaan pemantauan serta pengawasan.
Beliau berkata, keluasan kawasan sempadan negara terutama dari Perlis hingga Kelantan, selain Sabah dan Sarawak, menjadi antara cabaran utama operasi.
“Sempadan negara amat luas dan teknologi akan membantu meningkatkan keupayaan rondaan dan penguatkuasaan, sekali gus membolehkan kami mengekang kegiatan haram di kawasan sempadan dengan lebih berkesan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Operasi Taring, di Markas Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am di sini, hari ini.
Katanya, jenayah penyeludupan adalah isu rentas sempadan yang memerlukan kerjasama erat dengan negara jiran bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Jelasnya, tanggungjawab PDRM adalah mengawal kawasan sempadan negara manakala kawalan di pintu masuk rasmi dikendalikan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama agensi penguatkuasaan lain.
“Baru-baru ini, saya menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tertinggi di Bangkok yang menghimpunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM serta rakan sejawat dari Thailand, dengan kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan di kawasan sempadan.
“Kerjasama itu merangkumi operasi bersama, rondaan bersepadu, pertukaran risikan serta mesyuarat kumpulan kerja secara berkala bagi meningkatkan keberkesanan membanteras jenayah rentas sempadan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, kerjasama erat dengan komuniti yang menetap di kawasan sempadan juga menjadi elemen penting dalam usaha membanteras penyeludupan dan aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) kini mempunyai 178 pos kawalan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dengan anggotanya sentiasa menjalinkan hubungan rapat bersama masyarakat menerusi program kepolisan komuniti.
“Hubungan baik dengan komuniti setempat amat penting. Apabila masyarakat yakin dan selesa bekerjasama dengan pihak berkuasa, mereka lebih cenderung menyalurkan maklumat yang membantu mengesan kegiatan penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penyeludupan barangan kawalan,” jelasnya.
Katanya, maklumat yang disalurkan penduduk setempat banyak membantu pihak berkuasa mencapai kejayaan dalam operasi membanteras penyeludupan PATI, barangan kontraban dan barangan kawalan seperti petrol, diesel, beras, tepung serta gas memasak.-UTUSAN
The post Teknologi AI, dron perkukuh benteng keselamatan sempadan negara appeared first on Utusan Malaysia.





