Teknologi automasi bantu mudahkan urusan harian

TechnologyLifestyle
6 Oct 2026 • 11:51 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Teknologi automasi bantu mudahkan urusan harian

SEBELUM kecanggihan teknologi menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini, setiap perkara harus dilakukan secara kendiri sama ada memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, menyiram tanaman atau mencuci kereta.

Seiring peralihan masa, semua tugasan itu mampu dilakukan secara automasi dan tidak memerlukan terlalu banyak tenaga untuk melakukannya.

Teknologi menjadikan urusan harian menjadi semakin mudah sama ada melakukan tugasan pejabat, mengemas rumah, komunikasi dan bermacam hal lagi.

Inovasi teknologi dalam peralatan elektronik automasi menawarkan pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian, khususnya dari segi menjimatkan masa, tenaga dan kos.

Peralatan seperti lampu pintar, penyaman udara automatik, mesin basuh pintar dan sistem kawalan rumah boleh beroperasi secara automatik berdasarkan tetapan mengikut keperluan pengguna.

Bagi seorang pengguna, Melissa Malik, peralatan elektrik yang bersifat automasi dapat ditetapkan untuk beroperasi apabila diperlukan, sekali gus membolehkan dia memantau serta mengawal peralatan dari jauh menggunakan telefon pintar.

“Kesibukan kerja membuatkan saya sukar untuk memastikan kekemasan rumah atau membersihkan lantai dengan kerap.

Image from: Teknologi automasi bantu mudahkan urusan harian
TEKNOLOGI automasi membolehkan lampu menyala sendiri mengikut kehadiran orang.

“Ditambah pula, saya memiliki dua ekor kucing peliharaan yang memerlukan pemantauan terutama melibatkan kebersihan bekas najis dan keperluan makanan serta minuman.

“Bagi memudahkan segala urusan itu, saya menggunakan peralatan bersifat automasi iaitu smart litter box (bekas tandas kucing pintar) yang boleh mengasingkan najis kucing secara automatik.

“Cara itu dapat membuatkan kucing berasa selesa dan saya tidak perlu risau. Begitu juga dengan bekas makanan dan minuman yang boleh berfungsi secara automatik mengikut masa ditetapkan.

“Ini secara tidak langsung mengekalkan kesegaran makanan kucing. Kucing pula akan makan pada waktu dan jumlah yang ditetapkan,” kongsi kepada K-Tekno baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Melissa turut menggunakan vakum automatik yang mampu membuat pembersihan sendiri berdasarkan masa ditetapkan.

Cara itu membolehkan mesin tersebut membersihkan rumah pada bila-bila masa yang diperlukan tanpa pengawasan, sekali gus menjimatkan masa dan tenaga serta memudahkan urusan di rumah.

Peralatan elektrik automasi dapat menjamin keselamatan kerana sistem automasi akan dilengkapi dengan ciri pengesanan kerosakan, kebocoran arus, kebakaran atau pencerobohan.

Apabila situasi berisiko dikesan, sistem akan memberi amaran dengan segera, sekali gus mengambil tindakan pembaikan sendiri secara automatik seperti mematikan bekalan elektrik atau membuka sistem pemadam kebakaran.

Kelebihan itu dapat mengelakkan kemalangan, kerosakan harta benda dan menyelamatkan nyawa manusia.

Jika sebelum ini, peralatan seperti mesin basuh, peti sejuk, ketuhar mikro atau mesin pengisar dilihat bersifat automasi, namun perkembangan teknologi kini telah mewujudkan pelbagai mesin automasi lain.

Jika sebelum ini, mesin basuh, peti sejuk, ketuhar gelombang mikro dan mesin pengisar dianggap sebagai antara peralatan automasi yang memudahkan urusan harian.

Namun, perkembangan teknologi kini menyaksikan kemunculan pelbagai lagi peralatan pintar yang mampu melakukan tugas secara lebih automatik.

Misalnya, lampu menyala sendiri mengikut kehadiran orang, penyaman udara yang melaraskan suhu mengikut keadaan persekitaran, sistem keselamatan untuk memantau dan memberi amaran secara serta-merta dan peralatan dapur boleh diprogramkan sepenuhnya melalui aplikasi telefon pintar.

Kesimpulannya, peralatan elektrik automasi dan peranti pintar bukan sekadar mengikut arus kemodenan, malah membawa perubahan yang nyata ke arah kehidupan lebih cekap, selamat, selesa dan menjimatkan.

The post Teknologi automasi bantu mudahkan urusan harian appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved