Panel OLED boleh memaparkan warna hitam sebenar kerana pixel dimatikan sepenuhnya. Teknologi ini telah digunakan pada telefon pintar sudah lebih sedekad. Minggu ini Samsung mengumumkan pula teknologi QuantumBlack yang mengurangkan lagi pantulan cahaya pada skrin QD-OLED.

QuantumBlack mengurangkan pantulan cahaya sebanyak 20% berbanding lapisan filem terdahulu. Menerusinya panel QD-OLED boleh mengekalkan paparan hitam legap walaupun dalam persekitaran bercahaya. Apabila memainkan media, kejelasan objek dengan latar belakang dapat dilihat bersama dengan kedalamannya. Dalam permainan video pula, ia serasi untuk permainan FPS kerana sosok tubuh musuh dapat dilihat lebih jelas.
Selain itu QuantumBlack meningkatkan kekerasan permukaan skrin daripada 2H ke 3H menjadikannya lebih tahan calar. Pemilik tidak lagi perlu risau skrin tercalar ketika membersihkan atau menggerakkan monitor. Pada piawaian 3H, skrin dapat bertahan daripada dicalarkan oleh kuku jari.
Antara pengeluar yang akan menggunakan teknologi QuantumBlack pada monitor gaming mereka ialah ASUS menggunakan nama Black Shield, Gigabyte dengan Obsidian Shield dan MSI pula dengan Dark Armor.

