Telur sarang pertama penyu belimbing 2026 tidak bersenyawa

LocalEnvironment
16 Oct 2026 • 8:44 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Telur sarang pertama penyu belimbing 2026 tidak bersenyawa

DUNGUN: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan telur yang diperiksa daripada sarang pertama penyu Belimbing di Pasir Putih, Marang, dekat sini tidak bersenyawa selepas pemeriksaan teknikal mendapati tiada bukti perkembangan embrio.

Dapatan itu direkodkan dalam Laporan Teknikal Pra-Pemeriksaan Perkembangan Embrio bagi Sarang Penyu Belimbing di Terengganu pada 3 Oktober lalu yang disediakan menerusi Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang.

 

Pemeriksaan berkenaan dijalankan pada 30 September lepas, iaitu hari ke-30 tempoh pengeraman menggunakan kaedah penggalian separa tanpa pemusnahan terhadap lima sampel telur yang dipilih secara rawak daripada 44 biji telur dalam sarang berkenaan.

 

Hasil pemeriksaan mendapati lima sampel telur itu mempunyai diameter purata 49.80 milimeter, menunjukkan telur berkenaan adalh telur normal dan bukannya telur kerdil yang tidak mempunyai kuning telur.

 

Bagaimanapun, pemerhatian terhadap permukaan cangkerang tidak menemukan tompok putih yang lazim dikaitkan dengan perkembangan awal embrio.

 

Ujian suluhan cahaya turut tidak menunjukkan pembentukan rangkaian saluran darah atau bayangan struktur embrio sekali gus menguatkan dapatan bahawa tiada perkembangan embrio pada telur yang diperiksa.

 

Pemeriksaan itu juga menemukan perubahan warna telur kepada kehitaman dan kekuningan serta kehadiran mikroorganisma dan belatung yang menunjukkan berlakunya proses pereputan.

 

Secara keseluruhan, hasil pemeriksaan teknikal berkenaan menyokong kesimpulan bahawa lima sampel telur yang diperiksa tidak tersenyawa.

 

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, kemunculan semula penyu belimbing atau Raja Penyu di pantai Terengganu adalah perkembangan penting yang membuka peluang kepada penyelidik mengumpulkan data saintifik berkaitan pembiakan dan keadaan populasi spesies berkenaan.

 

“Walaupun pemeriksaan Sarang 1 menunjukkan telur yang diperiksa tidak bersenyawa, maklumat ini penting dalam usaha memahami perkembangan pembiakan penyu Belimbing.

 

“Pemantauan berterusan dan pengumpulan data saintifik perlu dilaksanakan bagi membantu menilai keadaan populasi spesies ini,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan telur penyu di Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang di sini.

 

Beliau berkata, pemeriksaan dan pemantauan secara teratur terhadap kelima-lima sarang yang direkodkan perlu diteruskan bagi mendapatkan maklumat mengenai perkembangan embrio, tahap kesuburan telur dan kejayaan penetasan.

 

Pengurusan pusat penetasan atau hatcheri juga disaran memberikan perhatian terhadap aspek kebersihan serta pemantauan suhu dan kelembapan pasir bagi mengurangkan risiko pencemaran dan penyebaran mikroorganisma ke sarang lain yang masih aktif.

 

Sehingga 1 Oktober lalu, sebanyak lima pendaratan persarangan penyu belimbing direkodkan di Terengganu, sekali gus menandakan kemunculan semula spesies berkenaan selepas pendaratan terakhir yang direkodkan pada 2017. – UTUSAN

 

B

The post Telur sarang pertama penyu belimbing 2026 tidak bersenyawa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved