Telur Yang Kecil dan Jiwa Yang Besar

Opinion
14 Jan 2026 • 10:00 AM MYT
Zakiah Senin
Zakiah Senin

30 years of shaping communities through volunteerism and character building

Image from: Telur Yang Kecil dan Jiwa Yang Besar
Photo credit: AI-generated image (Copilot)

Ketika Yayasan Salam Malaysia menganjurkan Kursus Asas Sukarelawan di Zon Pantai Timur. Saya menemui seorang peserta bernama Umar (bukan nama sebenar) yang tangan kanannya kudung sejak lahir. Beliau adalah seorang akauntan. Ketika sesi perkongsian pengalaman, Umar bercerita. “Ketika saya kecil, tiada siapa suka berkawan dengan saya, mereka malu agaknya, sebab saya cacat.” Katanya sambil tersenyum. Menurutnya, antara kegemaran kanak-kanak di kampungnya adalah memecahkan telur ayam yang mereka temui di kawasan paya terletak di belakang rumah Umar. “Pernah saya mengekori mereka dan mereka meminta saya memecahkan sebiji telur ayam sebagai tanda kami sehati sejiwa, tetapi saya menolaknya walaupun saya ingin sangat berkawan.” Umar menambah “Sewaktu itu, saya hanya fikir bahawa tindakan itu salah dan lebih-lebih lagi saya rasa telur ayam itu kepunyaan jiran sebelah rumah saya kerana dia sahaja yang bela ayam.” Umar menyatakan bahawa dia terfikir untuk menyelamatkan telur-telur ayam yang lain daripada menjadi mangsa. Oleh itu, pada hari berikutnya setelah pulang dari sekolah, Umar terus masuk ke kawasan paya secepatnya tanpa sempat menukar pakaian sekolah. Umar berusaha mendapatkan telur yang ada agar kanak-kanak lain tidak menemuinya. Umar berjaya menemui tiga biji telur ayam dan terus membawa telur tersebut ke rumah jirannya. Makcik Senah tersenyum mendengar cerita Umar yang merasakan bahawa telur yang dibawanya itu adalah kepunyaannya. “Saya sekadar nak pulangkan telur sahaja tetapi Makcik Senah bagi RM0.30 kepada saya, dia kata sebab kamu budak baik, makcik bagi upah, selebihnya Tuhan bagi pahala.” Umar menyatakan bahawa peristiwa itulah yang menyebabkan dia tekad untuk sentiasa berbuat baik. Tidak mengapa dia tiada kawan sebaya tetapi masih ada orang yang suka. Tidak mengapa dia sentiasa sendirian, yang penting Tuhan tahu dan menilai segala kebaikan.

Jika diselusuri cerita Umar, zaman kanak-kanaknya tidak seindah mana. Namun, yang tidak indah itu mengajar Umar untuk percaya bahawa walau di mana berada, walau apa sahaja cabarannya, kebaikan perlu diutamakan. Jika manusia tidak mampu menilainya, tidak mengapa kerana Tuhan itu tetap ada. Keteguhan hati untuk melakukan kebaikan akan menyebabkan tuan punya hati itu tiada kompromi terhadap sikap yang berlawanan dengan kebaikan. Pakej kebaikan yang ada dalam diri inilah integriti. Integriti pula diterjemahkan dengan perlakuan-perlakuan positif. Integriti akan teruji apabila tuan punya diri bertembung dengan cabaran yang memerlukan dia memilih tindakan yang betul atau salah. Semakin besar cabaran semakin teruji integritinya. Namun begitu, jika seseorang itu berintegriti, tiada masalah baginya untuk memilih tindakan yang baik. Baginya yang utama adalah kepuasan dengan memilih kebaikan.


(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com

Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.


Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.