Tembakan Maut Di Banting: Polis Lancar Operasi Buru Suspek

LocalPolitics
6 Jan 2026 • 4:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Polis sedang giat memburu seorang lelaki yang melepaskan tembakan dalam sebuah restoran makanan segera di Banting, Selangor hingga mengakibatkan seorang pelanggan maut.

Kejadian lewat malam itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap ancaman penjenayah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan suspek, yang identitinya masih belum diketahui setakat ini.

“Hasil semakan awal mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah. 

“Namun, butiran lanjut tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana kes masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, polis sedang meneliti motif kejadian dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan elemen gangsterisme.

“Kami menyiasat motif kejadian ini daripada pelbagai aspek, sama ada ia berkait dengan unsur gangsterisme atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, satu klip video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar berlari masuk ke dalam restoran berkenaan sebelum melepaskan beberapa das tembakan.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.05 malam, Ahad lalu. 

Mangsa, seorang lelaki tempatan dipercayai berusia lingkungan 30-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Susulan kejadian, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Getaran, 6 Januari 2026