liza19/10/2026 - 09:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Tender pembinaan loji janakuasa gas baharu berkapasiti kira-kira 3,550 megawatt (MW) bagi tempoh 2029 hingga 2031 menjadi antara tumpuan sektor tenaga Malaysia dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan YTL Power International Bhd (YTL Power) berpotensi mendapat manfaat sekiranya berjaya memperoleh projek berkenaan.
RHB Research berkata, tender yang dikenali sebagai New Generation Capacity in Year 2029 to 2031 (NEWGEN26) itu bertujuan memastikan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia mencukupi serta mengekalkan kestabilan sistem penjanaan tenaga pada tahun-tahun berkenaan.
Firma penyelidikan itu berpandangan TNB dan YTL Power berpotensi berada pada kedudukan lebih kompetitif dalam proses bidaan kerana kedua-dua syarikat sudah mempunyai tempahan turbin gas.
“Ketersediaan turbin berpotensi memberi kelebihan dari segi kesiapsiagaan pelaksanaan sekiranya mereka berjaya memperoleh projek.
“Kejayaan memperoleh projek itu boleh memberikan potensi kenaikan tambahan sebanyak 2% kepada harga sasaran TNB dan 4% kepada harga sasaran YTL Power,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Tender yang dikendalikan Suruhanjaya Tenaga itu menerima empat bidaan dengan jumlah kapasiti keseluruhan sekitar 3,550MW melibatkan TNB, Genting Bhd, kerjasama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dengan Edra Power Holdings Sdn Bhd, serta konsortium YTL Power.
TNB membida projek berkapasiti 700MW di Connaught Bridge, Klang, manakala Genting mengemukakan bidaan bagi kapasiti 1,400MW di Gebeng, Pahang. Bidaan PETRONAS-Edra pula melibatkan 700MW, sementara konsortium YTL Power membida kapasiti 750MW di Pulau Indah.
RHB Research mengekalkan penarafan Overweight bagi sektor tenaga Malaysia, dengan TNB dan YTL Power antara pilihan utamanya. Penilaian itu mengambil kira peluang daripada penambahan kapasiti penjanaan elektrik serta perkembangan permintaan tenaga dalam beberapa tahun akan datang.
Perjanjian bekalan elektrik terus berkembang
Selain tender loji janakuasa gas baharu, perkembangan perjanjian bekalan elektrik turut menyokong prospek TNB. Dalam separuh pertama 2026, syarikat itu menandatangani lima perjanjian bekalan elektrik dengan pusat data yang melibatkan jumlah kapasiti 856MW.
Jumlah kapasiti bekalan yang telah dipersetujui TNB dengan pusat data mencecah kira-kira 8.4 gigawatt (GW), dengan 5.7GW daripadanya sudah siap, meningkat 61% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. TNB turut menyasarkan pemeteraian 10 perjanjian bekalan baharu yang melibatkan kapasiti sehingga 1.5GW sepanjang 2026.
RHB Research menganggarkan permintaan jualan elektrik berkembang sekitar 5% hingga 6% setahun.
LSS6 buka peluang kepada pemain solar
Dalam segmen tenaga boleh baharu, RHB Research turut melihat peluang daripada tender Projek Solar Berskala Besar keenam (LSS6), yang merangkumi kapasiti solar 2.5GW dan sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 1.25GW. Tender itu turut menyediakan kapasiti khusus 150MW untuk syarikat Bumiputera di Semenanjung Malaysia.
“Nilai keseluruhan projek LSS6 dianggarkan sekitar RM13 bilion hingga RM15 bilion. Kami menjangkakan Solarvest Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd berpotensi mendapat manfaat daripada peluang pembangunan projek solar serta keperluan penyimpanan tenaga berkenaan,” katanya.
Selain itu, firma tersebut berkata jangkaan syarat kelulusan pusat data yang lebih ketat, termasuk campuran tenaga boleh baharu sebanyak 30% dan perjanjian bekalan elektrik selama 10 tahun, berpotensi mempengaruhi perancangan projek baharu.
Keseluruhannya, RHB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor tenaga dengan TNB, YTL Power, Solarvest dan Samaiden sebagai pilihan utama.
Bagaimanapun, manfaat daripada tender loji janakuasa gas baharu dan projek tenaga lain masih bergantung pada keputusan penganugerahan kontrak serta pelaksanaan projek, manakala penilaian sektor utiliti yang berada di atas purata lima tahunnya turut memerlukan perhatian pelabur. - DagangNews.com




