liza06/10/2026 - 10:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – RHB Research menjangka projek solar baharu yang diperoleh Samaiden Group Berhad akan meningkatkan tempahan kerja kumpulan kepada kira-kira RM735.8 juta dan terus menyokong pertumbuhan hasil serta keuntungan syarikat dalam tempoh akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata Samaiden melalui anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Sdn Bhd (SSB), pada 2 Oktober lalu memeterai kontrak bagi melaksanakan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), selain pembelian serta pembekalan komponen solar untuk loji solar fotovoltaik berskala besar berkapasiti 99.99MWac di bawah inisiatif LSS5+.
RHB Research menganggarkan projek berkenaan berpotensi bernilai kira-kira RM300 juta, walaupun nilai kontrak sebenar belum didedahkan.
Menurut RHB Research, anggaran itu termasuk dalam sasaran penambahan tempahan kerja sebanyak RM750 juta bagi tahun kewangan berakhir Jun 2027 (FY2027).
“Dengan projek baharu itu, tempahan kerja Samaiden dianggarkan meningkat kepada RM735.8 juta daripada RM435.8 juta pada FY2026, sebelum mengambil kira pengiktirafan hasil pada suku pertama FY2027.
“Namun, kami menjangkakan margin bersih projek baharu itu sekitar 7% kerana ia tidak lagi menikmati kelebihan margin tinggi daripada pembelian panel solar secara strategik yang dibuat sebelum akhir 2025,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Berpotensi dapat projek CRESS 100MW
Selain projek LSS5+ itu, RHB Research menjangkakan Samaiden memperoleh satu lagi projek berkapasiti 100MW di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) selewat-lewatnya pada suku pertama 2027.
Firma itu berkata projek berkenaan dijangka mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk dibina dan perlu mencapai operasi komersial pada 2028, dengan mengambil kira caj akses sistem sebanyak 14 sen bagi setiap kilowatt-jam.
ARTIKEL BERKAITAN: Samaiden raih kontrak daripada kontraktor Yeoh Tiong Lay bagi pembinaan loji solar 99.99MW
RHB Research turut memasukkan andaian tambahan sebanyak RM500 juta daripada kemenangan projek LSS6 dalam unjuran kewangannya bagi Samaiden.
Dengan tambahan itu, jumlah kemenangan projek LSS6 yang diandaikan RHB Research mencecah RM2 bilion, bersamaan kira-kira 15% bahagian pasaran daripada peluang EPCC LSS6.
Unjuran keuntungan dinaikkan
Susulan perkembangan projek tersebut, RHB Research menaikkan unjuran keuntungan FY2028 dan FY2029 Samaiden masing-masing sebanyak 11.4% dan 14.5%.
Firma itu mengunjurkan keuntungan bersih berulang Samaiden meningkat daripada RM38 juta pada FY2026 kepada RM61 juta pada FY2027, RM73 juta pada FY2028 dan RM81 juta pada FY2029.
Pada masa sama, hasil kumpulan dijangka meningkat daripada RM365 juta pada FY2026 kepada RM677 juta pada FY2027, RM974 juta pada FY2028 dan RM1.21 bilion pada FY2029.
RHB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham Samaiden, selain menaikkan harga sasaran kepada RM3.15 sesaham daripada RM3 sebelum ini, berdasarkan prospek pertumbuhan sektor tenaga boleh baharu dan keupayaan kumpulan melaksanakan tempahan kerja yang semakin besar.
Firma penyelidikan itu berkata Samaiden berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada sokongan berterusan terhadap tenaga boleh baharu di Malaysia, yang dijangka membantu pelaksanaan tempahan kerja sedia ada serta membuka peluang kepada pertumbuhan baharu.
Namun, RHB Research menyenaraikan risiko termasuk kemungkinan penghentian insentif solar, persaingan yang semakin sengit dan peningkatan kos projek melebihi jangkaan. - DagangNews.com






