Tenaga Digunakan Untuk Satu Carian Google Gemini Bersamaan 800 Kali Ganda Satu Carian Search

TechnologyEnvironment
22 Aug 2025 • 7:43 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Adakah penggunaan kecerdasan buatan (AI) bermoral dan baik untuk alam sekitar? Ini ialah perdebatan yang sedang hangat dilakukan khususnya di Malaysia kerana kita antara negara yang akan terkesan teruk disebabkan oleh perubahan iklim. Google akhirnya berkongsi anggaran penggunaan tenaga, pelepasan karbon dan penggunaan air apabila setiap kali soalan ditanya kepada Gemini dengan ia mengesahkan apa yang disyaki selama ini ternyata benar.

Anggaran pengguna tenaga median apabila aplikasi Gemini digunakan ialah 0.24 Wh, mengeluarkan 0.03 gram setara karbon dioksida (gCO2e), dan menggunakan 0.26 mililiter (lima titik air). Ini bersamaan menggunakan TV kurang daripada 9 saat atau menggunakan ketuhar gelombang mikro selama 1 saat.

image is not available

Sekilas pandang nampak seperti ia bukanlah penggunaan tenaga yang besar. Namun begitu dalam data yang diterbitkan Google sebelum ini, satu carian Google Search hanya memerlukan 0.0003 kWh kuasa dan melepaskan 0.2 gram karbon dioksida. Dari sudut penggunaan tenaga sahaja, satu cari Gemini menggunakan 800 kali ganda tenaga satu carian Search tetapi mengeluarkan hampir 7 kali ganda karbon dioksida.

Kaveat di sini ialah angka penggunaan tenaga carian Search di atas adalah dari tahun 2009. Penggunaan tenaga sekarang mungkin lebih rendah (kerana pusat data Google semakin lestari) tetapi mungkin juga lebih tinggi sekarang kerana mereka telah mengaktifkan AI Overviews dan AI Mode kepada pengguna global sejak semalam.

Google juga berkata jika dibandingkan dengan data setahun yang lalu, penggunaan tenaga median carian Gemini berjaya dikurangkan 33 kali ganda dan pelepasan karbon dioksida pula dikurangkan 44 kali ganda. Pengurangan mendadak dilakukan menerusi peningkatan kecekapan pada perisian dan perkakasan. Jadi adakah penggunaan Gemini baik untuk alam sekitar? Jawapannya tidak tetapi ia masih lebih hijau berbanding menggunakan kenderaan bermotor atau menonton TV sepanjang hari.