
PETALING JAYA – Pengalaman menjaga orang sakit di sebuah wad bertukar menyeramkan apabila seorang wanita mendakwa terlihat kelibat misteri sedang ‘meloncat-loncat’ di tingkap berhampiran katil pesakit.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai @alynnflorist memuat naik rakaman yang memaparkan suasana sebuah wad dengan beberapa katil pesakit serta langsir berwarna biru.
“Maaflah ‘cong’ (pocong) aku memang sejenis hati kering kontang. Cong saya pasti cong sebab ada bunjut,” tulisnya berseloroh sambil zum masuk sebuah lembaga berwarna putih sedang berdiri di sebelah tingkap dipercayai kelibat ‘pocong’.
Seorang pengguna, @_mattebrick turut bertanya sama ada kelibat berkenaan berada di luar atau sekadar pantulan di sebalik langsir, selain ingin mengetahui sama ada ia bergerak sebelum rakaman dibuat.
Menjawab persoalan itu, pemilik video mendakwa kelibat berkenaan sememangnya bergerak dan muncul seketika sebelum menghilang.
“Ya, kejap pusing, kejap ‘cak-cak’, kejap loncat, lepas itu hilang,” katanya.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial turut mengakui berasa seram selepas menonton rakaman tersebut, malah ada yang berkata mereka mungkin tidak menyedari kewujudan kelibat berkenaan sekiranya berada dalam situasi sama.
“Alamak, kalau saya memang tidak tahu itu hantu. Serius cakap, bukan berani atau apa, tetapi bab-bab itu memang saya tidak terfikir tentang hantu,” komen @ssalbiah_shamid.
“Jangan macam-macam, sis. Saya sudah dua minggu di hospital ini jaga mak,” seloroh @sispishy. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Tengah jaga orang sakit, tiba-tiba ‘dia’ datang loncat-loncat’ appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Harimau Malaya melintas jalan, nyaris bertembung lori balak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/ae651b2a-0951-44f2-b99c-7be02ee84662-1024x766.jpeg)
