
Tenom: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20.3 juta bagi projek pengairan, saliran dan pencegahan hakisan tanah di daerah ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Datuk Jamawi Jaffar (gambar) berkata daripada jumlah itu RM10 juta akan disalurkan bagi menaik taraf sistem saliran sawah padi di Kampung Pagoukon, Lagud Seberang, Manining dan Pansailon.
Beliau berkata tender bagi projek berkenaan telah dikeluarkan dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 pesawah.
“Sebanyak RM7 juta lagi diperuntukkan bagi sistem kawalan saliran air di kawasan pekan manakala RM2.5 juta adalah untuk projek mencegah hakisan tanah di sepanjang tebing Sungai Pegalan berhampiran Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom,” katanya.
Jamawi berkata Kerajaan Negeri turut melaksanakan empat projek kecil membabitkan kemudahan empangan air. Antaranya RM250,000 di Kampung Kalang manakala kira-kira RM200,000 setiap satu diperuntukkan bagi projek di Kampung Langsat, Kasiai dan Ulu Sumbiling di Mukim Melalap.
Beliau berkata semua projek itu dijangka menambah baik kemudahan pengairan bagi kawasan penanaman padi seluas kira-kira 250 ekar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia di Dewan OKK Sanggau Jalang di pekan Melalap, di sini.
Jamawi turut berkata komitmen Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pengairan dan Saliran akan diteruskan bukan sahaja di Tenom tetapi juga di kawasan lain bagi memastikan keperluan komuniti petani terus diberi perhatian.
Beliau turut menggalakkan petani supaya menyalurkan maklumat mengenai keperluan pembaikan saluran pengairan supaya kerajaan dapat mengenal pasti kawasan yang perlu diberi keutamaan pada tahun depan.






