‘Terbang tinggi, Aina’ – PMX titip kata semangat buat Aina Abdul

LocalEntertainment
10 Nov 2026 • 8:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Terbang tinggi, Aina’ – PMX titip kata semangat buat Aina Abdul

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan kata-kata semangat buat penyanyi, Aina Abdul yang bakal bertandjng membawa nama Malaysia ke pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand pada 14 November ini.

Anwar menzahirkan sokongan penuh terhadap penyertaan Aina, 33, dalam pertandingan berprestij tersebut yang menjadi platform buat penyanyi tempatan memperkenalkan bakat dan karya di peringkat antarabangsa.

“Selamat maju jaya buat Aina yang akan membawa nama Malaysia di pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand pada 14 November ini.

“Penyertaan Aina membuktikan bakat dan karya anak Malaysia mampu melangkah jauh serta bersaing di pentas antarabangsa.

“Pastinya, seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian ini,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Tambahnya, pemilihan Aina sebagai wakil Malaysia turut dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan buat industri muzik tempatan.

“Saya mendoakan agar Aina dapat memberikan persembahan terbaik dengan penuh keyakinan dan semangat.

“Menang atau sebaliknya, Aina tetap kebanggaan kita semua.

“Terbang tinggi, Aina!” katanya lagi.

Pada pertandingan tersebut, Aina memilih untuk mempertaruhkan lagu terbaharu ciptaannya dalam bahasa Inggeris berjudul Bluest Sky yang diinspirasi daripada kisah sebenar mengenai luahan persaannya terhadap cinta dan kasih sayang.

Pentas kemuncak Eurovision Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok pada 14 November ini turut disertai peserta dari negara lain seperti Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.

Sebelum itu, Aina terpilih mewakili Malaysia selepas memenangi kategori Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-40 pada Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Terbang tinggi, Aina’ – PMX titip kata semangat buat Aina Abdul appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved